Tuah Wani Kayrie


MANUSIA hanya mampu berharap dan merancang, namun, ketentuan, tuah dan rezeki terserah pada aturan Yang Maha Esa.

Bagi penyanyi Wani Kayrie, walaupun kariernya bermula sejak usia 10 tahun, namun, gelombang industri muzik tempatan masih sukar untuk diduga.

Percaturan gadis genit berusia 15 tahun itu bermula tatkala dia menjuarai rancangan nyanyian kanak-kanak terbitan Astro, Kamilah Bintang.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Syazwani Sapari itu tidak menduga bahawa kemenangan tersebut bukanlah tiket baginya untuk terus dikenali dalam kalangan penghibur tempatan yang lain.

“Pada awalnya, saya menjangkakan kemenangan dalam Kamilah Bintang boleh membantu untuk menaikkan nama saya sebagai penyanyi.

“Namun, jangkaan saya silap. Akibat kurang promosi, nama saya kurang dikenali ramai,” katanya.


Mengenal erti kepayahan untuk bergelar penyanyi yang berjaya, Wani tidak pernah berputus asa dalam merealisasikan impiannya itu.

“Ditambah dengan persaingan dan perubahan cita rasa muzik penggemar muzik, nama saya terus tenggelam.

“Mujurlah bakat saya dikesan oleh syarikat rakaman Suria Records (SRC). Selepas melihat saya membuat persembahan pada sebuah majlis, saya ditawarkan kontrak untuk bergelar penyanyi di bawah syarikat rakaman popular tersebut,” katanya lagi.

Tuah datang mengetuk pintu rezekinya bertalu-talu. Selepas memasarkan single pertama bersama SRC, Jangan Jangan sekitar Jun lalu, nama Wani terus mencuit perhatian ramai.

Klip video bagi lagu tersebut juga telah ditonton sebanyak lebih sejuta kali.

“Saya sendiri tidak menyangka lagu ciptaan DJ Fuzz itu mendapat tempat di hati pendengar.

“Kebanyakan peminat yang berjumpa dengan saya turut memberitahu lagu Jangan Jangan sering diputarkan di radio,” ujar Wani yang menyifatkan lagu tersebut sebagai sebuah karya yang mudah diterima pendengar.


Waniey tetap mengutamakan pendidikannya biar memburu impian sebagai penyanyi.

Melanjutkan perbualan mengenai perancangan single kedua, Wani tidak menolak untuk terus membawakan lagu-lagu berentak rancak jika itu yang dilihat bersesuaian dengan dirinya.

“Memang sewaktu bertanding dulu saya sering membawakan lagu balada. Bagaimanapun, jika syarikat rakaman melihat lagu berentak rancak lebih sesuai, saya menerima dengan hati yang terbuka.

“Lagipun, saya mempunyai kebolehan menari ketika menyanyi,” ujarnya sambil tersenyum.

Utama pendidikan

Walaupun rancak mengemudi karier sebagai seorang anak seni, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor itu tidak pernah melupakan kepentingan pendidikan untuk masa depan.

Dia mengaku sentiasa memberi fokus terhadap pelajaran, biar sibuk mengejar impian menjadi penyanyi berjaya.

“Karier nyanyian saya bergerak seiring dengan pendidikan. Saya hanya akan menerima undangan nyanyian sewaktu cuti sekolah atau pada hari minggu sahaja.

“Selebihnya, saya peruntukan untuk menyiapkan kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran,” katanya.

Dalam pada itu, Wani turut berpendapat bahawa penting baginya untuk mula menabung dan berjimat cermat agar masa depannya sebagai seorang pelajar terjamin.

“Buat masa ini, saya tidak mengimpikan untuk membeli sebarang aset. Duit yang saya peroleh selalunya disimpan untuk kegunaan masa akan datang.

“Kalau boleh, saya tidak mahu menyusahkan kedua ibu dan bapa apabila berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti kelak,” katanya menutup bicara.

Previous Post Next Post