Amy Search usaha kumpul dana sekolah tahfiz


SEJAK menubuhkan sekolah tahfiz Al Bayan School of Quran & Hadith pada Disember tahun lalu, penyanyi terkenal, Amy Search meneruskan usaha untuk mengumpulkan dana buat sekolah terbabit.

Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 57, dia bersyukur apabila usahanya itu dipermudahkan ALLAH SWT setelah dia berjumpa dengan Saiful Kadir dari Bahagian Seni Halus, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia, baru-baru ini.

Katanya, melalui perjumpaan tersebut, beliau telah menjalin kerjasama dengan Saiful yang juga seorang kartunis untuk mengumpul dana bagi sekolah miliknya.

"Ketika sekolah tahfiz Al Bayan berpindah ke Denai Alam dua bulan lalu, saya ada terfikir bagaimana cara untuk mencari dan mengumpul dana bagi sekolah ini.

"Alhamdulillah selepas tiga hari, ALLAH SWT permudahkan urusan saya dan saya dipertemukan dengan Saiful secara tidak sengaja.

"Dari perbualan maka tercetuslah idea untuk pameran seni Cahaya Jiwa di pekarangan Istana Budaya bermula 23 hingga 25 Disember ini bersempena sambutan Maulidur Rasul.

"Sepanjang pameran tersebut, lebih 40 lukisan akan dipamerkan dan dijual dan sebanyak 30 peratus daripada hasil jualan akan disalurkan kepada sekolah tahfiz.

"Setakat ini, lebih 15 lukisan telah ditempah untuk dibeli," katanya kepada Zass selepas perjumpaan bersama Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, di sini, baru-baru ini.

Dalam perjumpaan tersebut, Kumpulan Media Karangkraf menyokong segala usaha Amy dalam mengumpul dana bagi sekolah tahfiz berkenaan.

Sementara itu, Saiful berkata, tidak berakhir pada pameran seni sahaja, usaha mengumpul dana dengan penjualan lukisan khat yang dilukisnya sendiri akan diteruskan.

Menurutnya, dia dan Amy sudah merancang untuk memotret lukisan yang diilhamkan dari lagu Search seperti Kalimah Cinta, Mentari Merah Di Ufuk Timur dan banyak lagi.

"Kalau kita lihat, seni kaligrafi ini memang tidak diubah sejak sekian lama. Jadi untuk lukisan kali ini, saya cuba hasilkan karya yang dekat dengan jiwa anak muda.

"Begitu juga dengan lukisan yang akan datang, ia akan lebih abstrak dan ada penceritaan.

"Selain itu, kami juga rancang meletakkan tanda tangan saya dan Amy di belakang lukisan itu nanti," katanya yang menjual lukisan berbeza sepanjang pameran dan pada masa akan datang.


Perluas cawangan

Bercakap mengenai perkembangan sekolah tahfiz Al Bayan, Amy berkata, setakat ini dia mempunyai 33 pelajar dan berhasrat untuk menambah tujuh lagi pelajar.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, sudah ada 60 pelajar yang menanti untuk memasuki Al Bayan.

"Mengikut keluasan sekolah, untuk 40 orang pelajar memang selesa. Jadi saya tidak rancang untuk tambah bilangan pelajar lagi kerana mengikut keselesaan tempat itu.

"Bagaimanapun saya ada merancang untuk buka di Kedah di Pantai Merdeka kerana ada pihak mahu mewakafkan sebuah kedai dan surau untuk sekolah ini. Jadi saya mahu tinjau lokasi terlebih dahulu.

"Selain Kedah, ada juga yang berminat untuk buka Al Bayan di Pontian, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah.

"Tapi saya mahu buat secara perlahan-lahan dan fokus sekolah di sini terlebih dahulu," katanya.

Konsert 35 tahun

Berkongsi perkembangan terkininya, Amy berkata, dia bersama kumpulan Search kini dalam proses merangka konsert ulang tahun mereka yang ke-35 tahun.

Menurut Amy, dia kini dalam proses perbincangan bersama pihak yang bertanggungjawab menyiapkan pencahayaan, prop dan pentas.

Katanya, disebabkan beberapa faktor, konsert ulang tahun ke-35 Search akan diadakan di Indonesia terlebih dahulu sekitar Februari atau Mac depan, diikuti Malaysia pada Mei.

"Untuk konsert kali ini, kami banyak menggunakan tenaga dari luar kerana saya mahukan sebuah konsert yang berbaloi dengan apa yang peminat bayar.

"Saya tak mahu mereka bayar mahal tapi hasilnya 'cikai' sahaja. Biarlah konsert ini menjadi kepuasan pada sesiapa yang datang.

"Untuk konsert di Malaysia kami tak jumpa lagi lokasi yang sesuai kerana kalau boleh saya nak lokasi yang besar dengan kapasiti penonton melebihi 25,000 orang.

"Apa pun nanti, kami akan mengemas kini dari semasa ke semasa mengenai konsert ini nanti," katanya.

Previous Post Next Post