Ebby Yus Terpaksa Pilih Watak Kerana Masalah Kesihatan


Ebby Yus akan buat rawatan lenjut berkenaan masalah paru-parunya.

Pelawak Ebby Yus memberitahu dia kini lebih memilih watak dan skrip sebelum menerima tawaran sesebuah drama atau filem kerana masalah kesihatan yang dihadapinya.

Ebby Yus atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 50, berkata, dia terpaksa menolak skrip yang terlalu berat atau memerlukan pergerakan serta aksi yang banyak.

"Kesihatan saya tidak menentu akhir-akhir ini dan disebabkan itu saya perlu tengok dulu tawaran dan skrip yang mereka ingin saya lakonkan.

"Kalau terlalu berat pun saya tidak ambil kerana mental saya akan terganggu, begitu juga yang terlalu banyak bergerak atau berlari memang saya tolak," ujarnya kepada mStar Online.

Ebby Yus ditemui di lokasi penggambaran telefilem Kaki Kikis di Pusat Perusahan Amari di Batu Caves, di sini, Khamis.



Barisan pelakon telefilem Kaki Kipas.

Pelakon itu dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu, Sabah pada awal November lalu disebabkan masalah paru-paru.

Dia akan membuat pemeriksaan paru-paru secara lebih terperinci pada bulan Mac depan.

"November lalu saya dimasukkan ke hospital di Kota Kinabalu selepas demam, batuk dan sukar untuk bernafas.

"Ketika itu musim jerebu yang teruk sehingga jatuh sakit dan ditahan di wad. Pihak hospital kemudian meminta saya melakukan rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Saya dah buat pemeriksaan di HKL, tapi saya ingin ,mahu buat pemeriksaan susulan berkaitan paru-paru kerana takut ada jangkitan kuman," ujarnya.

Tambah Ebby Yus, disebabkan faktor kesihatan dan usia, dia lebih banyak berehat dan melakukan kerja-kerja yang tidak membebankan.

Sementara itu, bercerita tentang telefilem Kaki Kikis, Ebby Yus memeggang watak Datuk.

"Watak saya kali ini tidak susah, hanya saya perlu tahu apa yang pengarah mahukan. Biasanya saya akan tanya dulu pengarah bagaimana karekter yang dia mahu saya lakonkan terlebih dahulu," ujarnya.

Antara pelakon turut terlibat dalam telefilem ini ialah Awie, Reen Rahim, Adam Shah dan Bell Ngasri.

Telefilem Kaki Kikis arahan Nazir Jamaluddin terbitan Zamriez Golden Pictures ini dijangka bakal ditayangkan di TV9 pada Januari depan.

Previous Post Next Post