Konsert Keagamaan Hafiz Hamidun & Opick Dipandang Sepi


Opick dan Hafiz Hamidun akan muncul dalam Konsert Khalimah Cinta di Istana Budaya.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani terkilan apabila tiket konsert Malam Khalimah Cinta sempena sambutan Maulidur Rasul tidak mendapat sambutan.

Mohamed Juhari berkata, sepatutnya acara berbentuk keagamaan lebih mendapat perhatian masyarakat namun sebaliknya berlaku apabila tidak sampai 30 peratus tiket yang dapat dijual.

"Tinggal sehari lagi, jualan tiket tidak sampai 30 peratus. Saya terkilan kerana konsert ini tidak mendapat sambutan sedangkan ia berbentuk keagamaan.

"Sedangkan teater-teater muzikal komersial semua laku. Saya tak tahu di mana silapnya," kata beliau kepada mStar Online.


Mohamed Juhari ditemui pada sidang media Cahaya Jiwa Amy Search dan Saiful Kadir di Istana Budaya di sini, Isnin.


Amy (Search) dan Saiful Kadir akan menjual lukisan khat untuk mengumpul dana sekolah tahfiz. FOTO: KAMARUL ARIFFIN

Konsert yang menampilkan Hafiz Hamidun dan penyanyi Indonesia iaitu Opick akan berlangsung pada Rabu ini selama tiga hari di Istana Budaya.

Dia bagaimanapun masih mengharapkan keajaiban agar jualan tiket mencapai sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus.

Sementara itu, pada hari berlangsungnya konsert Malam Khalimah Cinta, lebih 40 buah lukisan khat eksklusif akan dipamerkan selama tiga hari di lobi Istana Budaya hasil kreativiti Saiful Kadir.

Kolaborasi itu diadakan bagi kempen mengumpul dana untuk Al Bayan School of Quran & Hadith milik Amy menerusi penjualan seni lukisan khat berkenaan.


Muhamad Juhgari (kiri) bersama mereka yang terlibat dalam pameran khat Cahaya Jiwa Amy Search dan Saiful Kadir.

Sebanyak 30 peratus hasil jualan akan disumbangkan kepada tabung dana sekolah tahfiz berkenaan.

Amy selaku pemilik pusat tahfiz berkenaan berharap kolaborasi itu dapat memberi manfaat kepada pembangunan dan operasi sekolah tahfiznya.

"Insya-Allah dana yang dikutip nanti dapat memberi manfaat kepada Al Bayan School of Quran & Hadith dalam mendidik mereka bukan sahaja untuk menghafal Al Quran tetapi menjadi insan berilmu, tinggi akhlak dan rendah diri," ujarnya.

Previous Post Next Post