Peluang kedua Aliff Aziz, Bella


ALIFF AZIZ merakamkan gambar kenangan bersama keluarganya dan Bella selepas majlis pertunangannya di Bukit Jelutong, baru-baru ini.

Tempoh perkenalan selama tiga tahun akhirnya mengubah fasa perhubungan yang lebih serius di antara penyanyi tinggi lampai dari Singapura, Aliff Aziz, 24, dengan kekasihnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 21.

Mereka selamat bertunang dalam sebuah majlis yang diadakan di Cyristal Hall, Plaza Jelutong, baru-baru ini.

Kata Aliff, dia dan Dayang Nabellah atau lebih mesra dibahasakan Bella akan mengikat tali pertunangan selama setahun dan mengharapkan doa yang terbaik daripada semua pihak.

“Alhamdulillah, bermacam-macam dugaan terpaksa saya tempuhi sebelum sampai ke tahap ini. Insya-Allah kalau tiada aral melintang selepas setahun bertunang, saya dan Bella akan mengikat status yang lebih indah iaitu berkahwin.

“Kalau dipercepatkan urusan tersebut (berkahwin), kami tidak akan menolak perkara itu dan akan melakukan apa yang terbaik untuk masa depan bersama,” luah Aliff usai majlis pertunangannya.

Mengulas lanjut mengenai hubungan dengan tunangnya Bella, Aliff memberitahu dia bersyukur kerana Bella banyak memberinya semangat dan untuk mendepani kehidupan yang lebih baik selepas ini.

“Sejujurnya, Bella adalah satu-satunya wanita yang sangat memahami diri dan kerjaya saya sebagai seorang anak seni.

“Sebagai teman wanita dan kini tunangan kepada saya, dia tidak pernah cuba untuk mengongkong atau mengawal hidup saya. Apa yang dia lakukan adalah lebih kepada memberikan kata-kata positif. Itu yang membuatkan saya jatuh hati kepadanya,” kongsi Aliff yang cukup dikenali menerusi lagu Sayang Sayang.


Mengulas mengenai perjalanan karier dan kehidupan peribadi Aliff melalui banyak episod kontroversi sebelum ini, Bella menyifatkan perkara tersebut sebagai pengajaran dan sempadan untuknya membina kehidupan yang lebih bererti bersama Aliff.

“Setiap orang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Begitu juga saya dan juga Aliff. Dengan ikatan baharu ini saya harap kami akan lebih mempercayai antara satu sama lain dan menghormati diri masing-masing.

“Tidak usah diungkit hal yang sudah lepas. Selepas ini, jika antara kami tersilap langkah, menjadi tanggungjawab kami untuk memperbetulkannya bersama sehinggalah ke hari perkahwinan nanti,” ujar Bella yang merupakan kakak kepada penyanyi Didi Astilah itu tenang.

Cinta pernah putus

Menyorot lebih mendalam mengenai perhubungan pasangan tersebut, Aliff dan Bella mula berkenalan sekitar tiga tahun lalu. Walaupun hubungan pernah terputus buat seketika, mereka bertemu semula pada Disember tahun lalu dalam majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) dan menyambung semula hubungan cinta.

“Siapa sangka walaupun hubungan terputus di tengah jalan disebabkan faktor remeh, saya dipertemukan semula dengannya (Bella) selepas majlis AIM tamat. Saya anggap ini sebagai peluang kedua dalam hidup untuk membina mahligai bahagia dengan wanita yang sangat penyabar dengan diri saya.

“Waktu itu, saya dan adik (Aisyah) mahu pulang ke rumah. Sewaktu saya sedang menyelesaikan suatu perkara, Bella ada juga di lokasi sama. Sejak itu, kami terus berkawan dan siapa sangka kini dia tunangan saya,” tutur Aliff yang melangsungkan pertunangan dalam sebuah majlis besar-besaran.

Pada majlis tersebut, pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran yang berupa sebentuk cincin, telefon bimbit iPhone 5s, coklat, al-Quran dan tepak sirih.

Pihak perempuan pula membalas tujuh dulang hantaran terdiri daripada sirih junjung, coklat, kek, minyak wangi, manisan, buah-buahan dan sepasang kasut.|

Antara rakan artis yang hadir ke majlis tersebut termasuk Aizat Amdan, Aisyah Aziz, Roslan Shah dan ramai lagi.

Previous Post Next Post