Syamel, Bila pecah klise


“BUKAN mudah menyusun tangga ke angkasa.” Bait-bait lirik pembuka lagu Menuju Puncak hasil garapan pemuzik tersohor, Aubrey Suwito itu mungkin sesuai untuk mendefinisikan graf permulaan karier seni dua penyanyi muda berbadan gempal ini.

Mula mengukir nama sebagai penghibur selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia 2015 (AF2015) yang berakhir sekitar Oktober lalu, bintang Syamel dan Bila dilihat mula menerbitkan sinar.

Derap langkah kedua-dua penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu semakin laju, mereka melangkah penuh ampuh melangkaui tangga demi tangga satu persatu.

Mengukuhkan lagi status mereka sebagai penyanyi, nama pemenang tempat kedua dan ketiga AF2015 itu kini terisi dalam senarai pencalonan awal untuk tiga kategori Anugerah MeleTOP Era 2016 (AME2016) yang telah diumumkan dalam sebuah sidang akhbar di Live House, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Teruja dan bersemangat, namun bagi Syamel, pemilihannya dalam kategori Penyanyi Baharu MeleTOP, Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP, tidak bermakna dia adalah yang terbaik dalam kalangan rakan-rakan AF2015 lain.

Pemilik nama sebenar Syameel Aqmal Mohd. Fodzly, 22, itu menganggap, pencalonan tersebut sebagai pembakar semangat dan kurniaan rezeki daripada Tuhan.

“Saya tidak pernah berasa bangga dengan apa yang saya terima setakat ini. Saya hanya anggap ia sebagai satu lagi rezeki selepas beberapa bulan bergelar penyanyi.

“Secara tidak langsung, pencalonan awal ini turut menjadikan saya bermotivasi untuk lebih berusaha pada masa akan datang,” katanya yang tidak meletakkan sebarang harapan tinggi terhadap pencalonan sulungnya dalam cara anugerah tersebut.

Ironi, walaupun nama Syamel dan Bila tersenarai dalam beberapa kategori AME2016, juara AF2015, Sufi Rashid pula gagal menempatkan diri dalam pencalonan awal.

Ditanya adakah benar tanggapan khalayak mengenai nasib pemilik tempat kedua sesebuah pertandingan lebih baik berbanding juara, Syamel berkata, semuanya berlaku secara kebetulan.

“Bagi saya, setiap orang mempunyai kelebihan dan kebolehan masing-masing.



Sedar kekurangan yang dimiliki iaitu bentuk fizikal gempal, namun Syamel dan Bila menggunakan keunikan vokal untuk membeli jiwa peminat.

“Berbalik pada rezeki, semuanya telah ditentukan. Jika rezeki saya di sini, mungkin rezeki Sufi ada di tempat lain,” ujarnya positif.

Bagi Nurnajmi Nabila Samsaidi atau lebih popular dengan nama pentasnya, Bila, dia mengakui benar-benar terkejut apabila mengetahui namanya turut tercalon bersama Syamel dalam kategori yang sama iaitu Penyanyi Baharu MeleTOP.

Mengakui masih baharu dan hijau dalam industri, anak kepada pemain bass kumpulan Wings, Eddie itu berharap, pencalonan tersebut mampu memberi definisi yang berbeza terhadap perjuangannya sebagai penyanyi.

“Sebagai seorang penyanyi baharu, saya benar-benar berasa terkejut apabila diberitahu yang nama saya dicalonkan bersama Syamel dalam senarai awal kategori Penyanyi Baharu MeleTOP.

“Ia merupakan satu perkara yang tidak dijangka,” kata penyanyi lagu Hidup Dalam Mati itu membuka bicara.

Menyifatkan pencalonan tersebut sebagai pemangkin untuk terus memberikan sesuatu yang lebih baik, Bila berkata, dia turut berasa bangga kerana banyak pihak mula menyedari bakat yang dimilikinya.

“Alhamdulillah, saya berasa sungguh bersyukur. Selepas dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga AF2015, berita gembira ini pula yang saya dengar.

“Sejujurnya, saya sedikit terharu apabila peminat telah mula menghargai bakat yang ada pada saya,” katanya yang kini sedang sibuk mempromosikan single perdananya, Diam Saja.

Imej

Bagaikan sudah menjadi lumrah, industri hiburan sering dikaitkan dengan pelaku seni yang mempunyai penampilan menarik dan sedap mata memandang.

Biasanya, penyanyi atau pelakon digambarkan sebagai seorang individu yang berupa paras menarik, tinggi dan kurus. Pendek kata, artis harus diiringi pakej sempurna.

Memecah kepompong biasa, Syamel dan Bila membuktikan vokal dan bakat nyanyian mereka dalam industri hiburan adalah lebih besar berbanding daripada tanggapan tabu dan klise khalayak.


Syamel dan Bila berkongsi situasi hampir sama. Mereka berbadan gempal tetapi mempunyai kuasa vokal yang mampu menggegarkan emosi peminat.

Melihat situasi itu perkara yang positif, Syamel berkata, sebagai penyanyi perlu pandai menggunakan kelebihan yang ada agar nama yang digilap dapat kekal lama dan terus relevan dalam kalangan peminat.

“Kita perlu pandai menggunakan kelebihan yang ada kerana perkara itu yang dilihat oleh peminat sewaktu saya berada dalam Akademi Fantasia.

“Saya tidak mahu dibunuh oleh kekurangan diri, jadi, biarlah saya teruskan apa yang saya buat dan dalam masa sama cuba mengubah penampilan secara berkala,” katanya.

Jaga diri

Berbalik kepada penerimaan khalayak terhadap penyanyi yang berpenampilan menarik, Bila berpendapat, bakat dan imej merupakan satu kombinasi wajib dalam dunia hiburan.

Katanya, kedua-dua elemen tersebut bagaikan sudah menjadi kemestian dalam industri seni tanah air. Namun, itu tidak bermakna penyanyi yang bertubuh gempal tidak boleh berdiri sama tinggi dengan penghibur yang lain.

“Saya sedar, ada sesetengah orang masih tidak boleh menerima penyanyi yang bertubuh besar.

“Apabila tergolong dalam kelompok itu, saya cuba mencari kelainan dengan menjual keunikan yang ada pada vokal saya.

“Dalam masa yang sama, saya cuba menonjolkan kelakuan yang baik agar tidak mudah dibenci oleh masyarakat,” kata Bila yang sentiasa berhati-hati dalam mengatur langkahnya sebagai seorang anak seni.

Menurut Bila, sejak kebelakangan ini, khalayak khususnya penggemar muzik lebih bijak dalam menilai bakat yang ada pada sesetengah penyanyi.

“Memang pada awalnya saya berasa sedikit cuak apabila kehidupan yang dahulunya normal telah mula menjadi perhatian ramai.

“Tetapi, saya berasa sungguh gembira kerana ada peminat yang betul-betul menyokong kerjaya dan menghargai bakat yang saya ada,” ujar Bila menutup bicara.

Previous Post Next Post