Usaha gigih Shu Qi


DEMI membantu kewangan keluarganya, bintang filem Asia, Shu Qi memulakan karier seninya sebagai model pada usia 16 tahun.

Pun begitu, dek mencari peluang yang lebih besar, aktres kelahiran Taiwan ini mengambil keputusan untuk berpindah ke Hong Kong, setahun kemudian.

Sebenarnya, kedatangan Shu Qi ke Hong Kong kerana telah mengikat kontrak dengan penerbit filem, Manfred Wong bagi membintangi beberapa filem Hong Kong kategori 3 seperti A Queer Story (1996), Street Angels (1996) dan Sex & Zen II (1996).

Shu Qi kemudiannya membintangi filem Viva Erotica yang mengisahkan mengenai industri filem erotik di Hong Kong pada 1996. Selain dia, filem arahan Derek Yee’s itu turut dibintangi Karen Mok dan mendiang Leslie Cheung.

Tuah ternyata berpihak kepada Shu Qi lantaran berjaya meraih Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem tersebut dalam Anugerah Filem Hong Kong ke-16 pada 1997.

Sejak itu, dia mula tampil dalam pelbagai filem mainstream Hong Kong seperti Gorgeous (1998), The Island Tales (1999) dan Millennium Mambo (2000).

Lebih membanggakan lagi, Shu Qi berpeluang mencipta nama di Hollywood apabila tampil dalam filem The Transporter di samping aktor berbadan sasa, Jason Statham.

Tidak hanya itu, pelakon jelita ini juga menunjukkan pencapaian yang sangat membanggakan menerusi pelbagai watak dalam filem sama ada komedi, seram, romantik, pengembaraan, drama mahupun seni bela diri di Asia.

Antara filem lakonannya adalah So Close (2002), The Eye 2 (2004), Three Times (2005), If You Are the One (2008), If You Are the One 2 (2010), A Beautiful Life (2011), Love (2012), Journey to the West: Conquering the Demons (2013), Gone with the Bullets (2014) dan The Assassin (2015).

Raih pendapatan tertinggi

Mencipta nama melalui filem-filem gred D, tidak bermakna Shu Qi tidak mampu untuk meraih populariti sehingga menjadi antara bintang kelas A seperti hari ini.

Masakan tidak, dia seorang yang sangat kuat berusaha dan rajin bekerja.

Selain berlakon, Shu Qi turut dipilih oleh Kenzo Takada menjayakan sebahagian aktiviti kempen harumannya, Flower by Kenzo. Pada masa sama, dia juga menjadi jurucakap bagi Shiatzy Chen.

Pelakon jelita ini juga menjadi duta bagi jenama Frederique Constant di Asia sejak 2008.

Pada 2009, Shu Qi bersama Frederique Constant dan Yayasan Paint Smile melakukan kerja-kerja sukarelawan dan terlibat dengan aktiviti mengecat semula mural di dinding jabatan kardiologi di Hospital Kanak-Kanak Beijing.

Bukan itu saja, isteri kepada Stephen Fung ini juga terpilih menjadi duta Emporio Armani.

Hasilnya, Shu Qi merupakan salah seorang aktres di China yang meraih pendapatan tahunan tertinggi iaitu RM16.1 juta.


Filem epik

Belum lagi ditayangkan di negara ini, filem terbaru lakonan Shu Qi, Mojin:The Lost Legend mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan di China.

Satu laporan menyebut, filem yang diadaptasikan daripada novel popular di China, Ghost Blows Out The Light itu mendominasi penjualan tiket di pawagam.

Berdasarkan data daripada Ent Group, filem tersebut berjaya meraih kutipan sehingga AS$93.4 juta sejak ditayangkan pada 18 Disember lalu.

Bukanlah satu perkara yang mengejutkan kerana novel karya Zhang Muye itu turut mendapat tempat di hati peminat sejak dilancarkan.

Malah, novel fantasi tersebut turut dijual secara online pada Mac lalu dan menjadi novel online terlaris di China dengan jumlah pembaca lebih dari enam juta. Sedangkan versi cetaknya pula sudah terjual lebih dari 500,000 salinan.

Kini, kisah tersebut diangkat ke layar lebar di bawah arahan sutradara Wuershan dan turut dibintangi oleh Chen Kun, Huang Bo, Angelababy dan Ha Yu selain Shu Qi.

Mojin: The Lost Legend berlatarbelakangkan tahun 1980-an, mengisahkan seorang bekas askar bernama Hu Bayi dan rakannya bekerjasama dengan ahli arkeologi Amerika Syarikat (AS) selepas mereka terkena sumpahan ketika merompak kubur. Untuk membuang sumpahan itu, mereka perlu mencari klu yang tersembunyi di tempat misteri di China.

Apakah yang berlaku? Nantikannya di pawagam mulai 7 Januari ini.

MOJIN: THE LOST LEGEND
PENGARAH: Wuershan
PELAKON: Chen Kun, Huang Bo, Shu Qi, Angelababy, Ha Yu
GENRE: Pengembaraan / Fantasi
DURASI: 2 Jam 5 Minit
TARIKH TAYANGAN: 7 JANUARI 2016

Previous Post Next Post