Vokal Dayang Nurfaizah hampir sempurna


DAYANG NURFAIZAH mengekalkan pemilikannya dalam kategori Vokal Terbaik AJL30 untuk dua tahun berturut-turut.

KEBOLEHAN penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak, Dayang Nurfaizah dalam melantunkan vokalnya secara langsung bukan satu perkara luar biasa.

Kemampuannya itu seringkali menjadi bahan bualan peminat, lebih-lebih lagi apabila Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty diberi peluang untuk mengadakan persembahan dalam majlis hiburan berskala besar.

Membuktikan bahawa bakat yang dimiliki bukan sekadar picisan, penghibur berusia 35 tahun itu berjaya merangkul anugerah Vokal Terbaik menerusi lagu Tak Pernah Menyerah pada Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30) yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Kemenangan tersebut sekaligus mengulang kembali kejayaan Dayang memenangi kategori yang sama menerusi lagu Di Pintu Syurga pada AJL 29 tahun lalu.

Berkesempatan bertemu dengannya, Dayang berkata, fokus utamanya dalam AJL30 tidak hanya tertumpu pada kemenangan atau hadiah yang ditawarkan semata-mata.

Sebaliknya, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Masihkah Ada Cinta itu lebih mementingkan sebuah persembahan bertaraf konsert yang dapat dinikmati oleh penonton dan peminatnya.


Artis Meletop!: Tahniah Dayang atas kemenangan anda. Bagaimanakah perasaan anda selepas berjaya memenangi anugerah Vokal Terbaik pada AJL30?

DAYANG: Terima kasih. Sejujurnya, saya tidak sangka akan memenangi anugerah ini untuk kali yang kedua. Finalis AJL30 hebat-hebat belaka dan mereka juga mempunyai kebolehan yang tersendiri. Namun, saya berasa sungguh bersyukur kerana rezeki berpihak pada saya tahun ini.

Komen anda apabila ketua juri AJL30, komposer Azmeer menyifatkan kawalan suara anda sebagai hampir sempurna?

Saya sendiri terkejut apabila Azmeer menjelaskan kebolehan yang ada pada vokal saya. Jika ditanya, saya mungkin tidak memahami cara lantunan vokal secara teknikal. Tetapi, saya hanya menyanyi mengikut rasa dan apa yang ingin disampaikan kepada penonton.

Selepas memenangi anugerah Vokal Terbaik dua tahun berturut-turut, adakah tanggungjawab anda sebagai penyanyi semakin bertambah?

Ya, tidak dinafikan, sejak tahun lalu tanggungjawab saya sebagai penyanyi semakin bertambah. Peminat telah meletakkan harapan yang tinggi dan saya tidak boleh mengecewakan mereka.

Susunan lagu Tak Pernah Menyerah versi AJL30 kedengaran sedikit berbeza. Bolehkah anda berkongsi mengenai persediaan sebelum beraksi di pentas AJL30?

Sebulan sebelum AJL30, saya ada berjumpa dengan pemuzik Genervie Kam untuk berbincang mengenai susunan muzik yang lebih segar. Saya memilih untuk menjadikan lagu tersebut kedengaran ‘besar’ dan sesuai untuk dipersembahkan di pentas berprestij seperti AJL30.

Kebanyakan penyanyi senior enggan menyertai Anugerah Juara Lagu kerana bimbang reputasi mereka jatuh apabila kalah. Namun, Dayang dilihat begitu selesa untuk bertanding dan tidak gentar bersaing dengan penyanyi junior yang lain. Komen?

Terpulang pada pendapat masing-masing. Bagi saya, status seseorang penyanyi itu tidak penting asalkan persembahannya mantap. Saya sendiri gemar bertanding kerana dapat mencabar diri untuk berfikir di luar ruang selesa.

Anda sering tampil mewah dengan menyarungkan busana cantik setiap kali membuat persembahan. Adakah ia akan menjadi signatur Dayang Nurfaizah pada masa akan datang?

Pada pandangan saya, apabila tampil cantik, keyakinan untuk menyanyi dengan baik juga semakin bertambah. Kebetulan, saya merupakan penyanyi yang terakhir membuat persembahan. Jadi, saya meminta pereka fesyen Rizalman untuk mereka sehelai busana yang selari dengan konsep lagu seterusnya memberi impak pada penonton.

Previous Post Next Post