Adam Corie cari tajaan RM380,000


Corrie (dua dari kiri) menggaul yee sang ketika melakukan gimik perasmian majlis Pelancaran Kembara Iman 2 di Kompleks Warisan Baiduri, Gombak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelakon dan pendakwah bebas, Adam Corrie kini sedang dalam misi mengumpul dana tajaan bagi menjayakan program Kembara Iman Saudara Baharu Musim Kedua (KISB 2) untuk menunaikan ibadah umrah selepas mendapat sambutan memberangsangkan tahun lalu.

Namun begitu, niat murninya itu sedikit terganggu apabila pihaknya berdepan jalan buntu dalam mencari baki dana berjumlah RM380,00 bagi menampung 40 orang jemaah yang terdiri daripada golongan mualaf itu.

Corie menjelaskan, usaha mengumpul bayaran jumlah keseluruhan yang memakan belanja RM400,00 itu kerap tergendala apabila sering menerima janji-janji palsu sesetengah individu.

Menurut Corrie yang juga pengerusi Pertubuhan Kembara Iman (PKI), dia juga berasa hairan dengan sikap yang ditunjukkan kerana pada mulanya, banyak individu yang menawarkan diri untuk membantu namun apabila sampai saat untuk melunaskan bayaran, mereka menghilangkan diri tanpa berita.

“Saya tidak kecewa ataupun patah semangat apabila diuji oleh Allah seperti ini kerana saya yakin, setiap ganjaran hebat itu akan didahului oleh dugaan yang jauh lebih besar.

“Saya akan tetap berusaha mencari baki wang yang diperlukan kerana sudah berjanji dan berniat untuk membantu saudara-saudara baharu dalam Islam yang menyimpan impian menjejak kaki ke Tanah Suci Mekah,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran KISB 2 di Wisma Baiduri, Gombak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada tahun lalu, usaha penganjuran KISB lebih mudah apabila Corrie bekerjasama dengan pelakon popular, Adi Putra dalam menguruskan hal-hal jemaah.

Walaupun bersendirian tahun ini, Corrie berkata, dia sememangnya sudah memasang niat untuk bergerak solo bagi edisi KISB 2 dan tidak terfikir meminta bantuan orang lain.


Usaha dipertikaikan

Kesungguhan Corrie mahu menaja 40 orang mualaf secara percuma untuk menunaikan umrah pernah dipersoalkan oleh masyarakat sekeliling kerana beranggapan usahanya itu seperti sia-sia.

Pelakon KL Gangster itu pernah ditanya mengapakah bersusah payah untuk orang lain sedangkan dirinya juga hanya sekadar cukup-cukup makan sahaja.

Jawab Corrie tenang, itu hanya sekelumit kecil kudrat yang termampu dilakukan olehnya agar saudara-saudara baharu ini tidak terus dipinggirkan sebaik sahaja memeluk agama Islam.

“Tidak semua orang mualaf yang menukar agama bertuah seperti saya yang masih diterima oleh keluarga asal. Ramai dalam kalangan mereka dibuang keluarga dan disisih masyarakat.

“Niat saya membawa mereka menunaikan umrah adalah dengan harapan hati mereka dikuatkan untuk terus beriman dan tidak putus asa dalam menghadapi cabaran dalam hidup,” katanya.

Jemaah KISB 2 dijangka bakal berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 8 Mac hingga 19 Mac depan dan bakal dibimbing oleh tiga ustaz berpengalaman iaitu Ustaz Rusydi Aljauhari, Ustaz Mohd Fakarudeen Che Omar dan Ustazah Asmak Hussin.

Jumlah 40 orang mualaf ini ditapis daripada 80 orang yang menghantar permohonan selepas menduduki beberapa ujian saringan seperti pengetahuan dalam ilmu solat dan juga latar belakang pendapatan yang tidak melebihi RM3, 000.

Sebarang sumbangan boleh diberikan melalui akaun CIMB PKI di nombor akaun 8602375196 atau hubungi talian 019-307 0208.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »