Azlin, klon Ziana Zain juara Seiras Seirama


AZLIN menewaskan lima peserta lain untuk melayakkannya menjadi juara musim pertama Seiras Seirama.

PROGRAM yang mengetengahkan bakat suara dan personaliti persis artis-artis popular tanah air, Seiras Seirama melabuhkan tirainya pada malam Ahad lalu dengan menobatkan peserta berasal dari Negeri Sembilan, Azlina Aziz sebagai juara.

Azlina atau mesra disapa Azlin yang merupakan klon Ikon Ziana Zain membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 berserta sebuah trofi, sekali gus menewaskan pesaing terdekat, Azri dan Zila yang terpilih sebagai tiga peserta terbaik.

Pada malam tersebut, Azlin, 28, mempersembahkan dua buah lagu medley Ziana Zain iaitu Tiada Kepastian dan Sangkar Cinta untuk pusingan pertama. Pada pusingan kedua pula, Azlin memilih lagu Senja Nan Merah bersama penyanyi Aweera.

Kata Azlin yang merupakan seorang peniaga online, dia tidak menyangka bahawa penyertaannya dalam program Seiras Seirama akan membawa tuah sehingga dinobatkan selaku juara.

“Alhamdulillah, walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menang tetapi saya sangat bersyukur sebab kerja keras sepanjang berada dalam program ini akhirnya berbayar.

“Saya meminati Ziana Zain sejak di bangku sekolah dan dapat bekerjasama dengan beliau dalam program ini umpama mimpi yang menjadi kenyataan serta pengalaman paling berharga,” ujarnya.

Ditanya tentang arah tuju selepas ini, Azlin berkata, segalanya terserah kepada rezeki. Namun, dia tidak menolak untuk bekerja dengan Ziana dan merakamkan lagu bersama idolanya itu.

“Selepas ini saya tidak tahu lagi bagaimana arah tuju hidup saya dalam industri sebab masih belum terfikir untuk membuat lagu atau sebagainya. Saya hanya menyerahkannya kepada rezeki.

“Apa yang pasti kemenangan ini merupakan platform untuk saya mengembangkan bakat nyanyian. Kalau selepas ini pintu rezeki saya terbuka luas dalam dunia hiburan, saya tidak menolak,” ujar wanita itu lagi.



SEMPURNA... Paduan vokal yang mantap dan persis Ziana Zain melayakkan Azlin untuk membawa pulang gelaran juara Seiras Seirama baru-baru ini.

Bagi Ziana Zain pula, meskipun kemenangan Azlin agak mengejutkan dirinya pada malam itu tetapi beliau mengakui bahawa wanita tersebut mempunyai kemantapan vokal yang bagus.

“Saya sangat terkejut waktu diumumkan Azlin sebagai juara sebab saya tidak letak harapan tinggi untuk dia menang. Jadi, kemenangan ini membuktikan dia memang yang terbaik dalam kalangan terbaik walaupun sebenarnya saya tidak banyak memberi tips kepada dia,” ujar Ziana jujur.

Sementara itu, menurut penyanyi Datuk Khatijah Ibrahim yang dijemput selaku juri profesional pada malam berkenaan, selain kemiripan suara persis ikon yang dipilih, kemenangan Azlin pada malam itu turut dinilai menerusi pakej kemantapan vokal yang dimilikinya.

“Kita semua tahu yang ia sangat mustahil untuk mencari seorang penyanyi yang mempunyai suara sama 100 peratus seperti ikon-ikon hebat yang ada dalam industri kita pada hari ini.

“Sebab itu, kami sebagai juri menilai pemarkahan tidak hanya daripada kemiripan suara tetapi kemantapan vokal iaitu dari segi tona suara dalam nada rendah mahupun tinggi dan Azlin berjaya membuat yang terbaik,” ujarnya.

Program yang bersiaran secara langsung dari Studio 1, Pusat Penyiaran Astro di Bukit Jalil itu turut menampilkan enam lagi barisan ikon hebat iaitu Datuk Jamal Abdillah (klonnya, Nor Azri) Misha Omar, (klonnya, Tyka), Faizal Tahir (klonnya, Azri) Mas Idayu (klonnya, Noriah), Ella (klonnya, Zila) dan Hafiz Suip (klonnya, Akira).

Previous Post Next Post