Kembar Fazura anggap rezeki ALLAH


Nur Syazana. Gambar kecil: Komen pelakon Fazura dalam laman Instragram Nur Syazana.

SELEPAS beberapa foto milik seorang remaja menjadi viral disebabkan rupanya seiras selebriti popular Fazura, Nur Syazana Romli, 18, mengakui rezekinya semakin murah apabila pernah ditawarkan menjadi model muslimah dan duta produk.

Gadis yang lebih mesra disapa Nana bagaimanapun memberitahu, dia lebih selesa dikenali sebagai gadis biasa dan menganggap apa yang berlaku adalah rezeki tidak terjangka dari ALLAH.

Menurutnya, dia masih dalam proses menimbang semula tawaran tersebut bagi memastikan ia memenuhi syarat seperti menutup aurat, selain tidak mahu insiden mengambil kesempatan terhadap dirinya.

Ini kerana, katanya, sebelum ini dia pernah menjadi model dalam sebuah video di Youtube, namun bayaran diterima tidak berbaloi.

"Ketika itu saya hanya dibayar sebanyak RM500 sedangkan proses penggambaran dijalankan di Kuala Lumpur dan segala kos termasuk pengangkutan serta penginapan terpaksa menggunakan wang sendiri.

"Saya tak pernah letakkan bayaran yang tinggi, tapi biarlah berpatutan. Wang yang saya dapat itu sekurang-kurangnya dapat digunakan sebagai persediaan untuk menyambung pelajaran selepas SPM diumumkan nanti. Jadi, bermula dari itu, saya belajar dari pengalaman," katanya di Melaka, semalam.


Nur Syazana yang juga anak ketiga dari empat beradik berkata, dia kini menimba pengalaman sebagai pembantu butik, sekali gus mendorong minat dan impiannya untuk memiliki perniagaan jenama sendiri.

"Bukan sahaja dapat tambah wang poket sendiri, malah lebih seronok bila dapat bekerja bersama kawan karib sejak di tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh.

"Memang impian saya nak miliki perniagaan jenama sendiri seperti pakaian muslimah ataupun shawl. Tetapi kalau boleh saya nak utamakan pelajaran dahulu.

"Lagipun keluarga mengharapkan saya menyambung pelajaran," katanya yang merancang untuk menyambung pengajian dalam jurusan perniagaan di universiti tempatan.

Sebelum ini, Nur Syazana mendapat perhatian nitizen selepas Fazura meninggalkan komen mengakui rupa mereka yang seiras, malah lebih cantik darinya di laman Instagram milik gadis berkenaan.

Previous Post Next Post