Nazmi Nordin, Alex Faizal & Ben Asri Percubaan lelaki-lelaki Tundukkan Playboy Itu


NAZMI NORDIN (kiri), Alex Faizal dan Ben Asri saling berkongsi pengalaman pertama kali muncul dalam bidang seni menerusi drama Tunddukkan Playboy Itu.

DIGANDINGKAN dalam drama Tundukkan Playboy Itu (TPI) terbitan A-Ten Alliance (M) Sdn. Bhd. menjadi langkah pertama buat pelakon, Nazmi Nordin, Ben Asri dan Alex Faizal.

Berkongsi naskhah yang sama menjadikan mereka bagai sebuah keluarga, sementelah masing-masing berkongsi latar belakang dalam dunia peragaan.

Menjadikan tunjuk ajar dan nasihat dari pengarah Keoi Khalid selaku sutradara drama TPI sebagai senjata utama dalam menzahirkan watak di set penggambaran.

Drama 30 episod itu turut dibintangi oleh Uqasha Senrose, Mawar Rashid dan Hafidz Roshdi kini sedang hangat bersiaran menerusi slot Akasia.

Lebar sayap

Menyandang gelaran sebagai penuntut semesta akhir jurusan Sarjana Perubatan Nuklear (Pengimejan Molekur) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Sri Kembangan, Nazmi tetap tidak mahu melepaskan peluang menjadi anak seni.

Bagi Nazmi atau nama lengkapnya, Mohd. Nazmi Che Nordin, pengalaman pertama kali beraksi di depan kamera menerusi drama TPI menjadi satu momen sukar dilupakan.


“Pada awalnya saya memang menghadapi masalah saat ingin melontarkan dialog dan dalam pada masa sama harus mengawal ekspresi wajah agar sekata.

“Bagaimanapun, secara perlahan-lahan saya mula mempelajari teknik lakonan daripada kru dan barisan pelakon lain agar tidak kelihatan janggal atau kayu di televisyen,” kata lelaki berusia 27 tahun.

Membawa watak sebagai Ash yang merupakan kenalan Uqasha dalam drama tersebut, anak kelahiran Perlis itu juga mula berjinak-jinak dengan dunia pengacaraan.

Menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program masakan, Jemput Makan di saluran HyppTV, Nazmi menjadikan rancangan tersebut sebagai platform pertama untuk dirinya melebarkan sayap dalam industri seni tempatan.

Halangan bahasa

Buat jejaka kelahiran Sabah, Ben Asri, dia mengaku menghadapi kesukaran untuk bertutur kerana terlalu sebati dengan dialek kenegerian.

Disebabkan itu, lelaki berusia 30 tahun itu terpaksa menduduki peperiksaan subjek bahasa Malaysia Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak tujuh kali.

Biarpun perkara itu sesuatu yang mengejutkan, pemilik nama lengkap Mohd. Asri Isa tidak mengambil pusing dengan pandangan masyarakat mengenai hal tersebut.

“Saya mengetahui kekurangan diri dalam penguasaan bahasa Malaysia yang lemah, namun perkara itu dijadikan kekuatan dan pembakar semangat untuk terus berjaya kelak,” katanya.

Bertugas sebagai seorang arkitek di sebuah syarikat swasta, Ben tidak menjadikan kerjaya profesional itu sebagai halangan untuk serius mempertaruhkan nasib dalam lapangan seni yang masa depannya sukar dijangka.

“Disebabkan saya bekerja sendiri dan tidak terikat tanggungjawab dengan mana-mana syarikat, jadi perkara itu tidak menimbulkan sebarang masalah untuk saya melakukan kerja lain seperti berlakon,” jelas Ben yang membawa watak sebagai pereka fesyen dalam drama TPI.

Pernah dibayar RM10

Bergiat aktif dalam bidang peragaan, Alex Faizal yang memegang watak sebagai penyiasat persendirian bernama Aidil dalam drama TPI, menjadikan pengalaman hitam saat pada awal kemunculan dalam bidang lakonan sekitar 10 tahun lalu sebagai motivasi dirinya.

Alex atau nama penuhnya Mohd. Faizal Mohd Diah memberitahu pernah menerima bayaran sebanyak RM10 sahaja selepas bekerja keras untuk sebuah drama.

Pada waktu itu terdetik dalam hatinya untuk meninggalkan sahaja dunia seni, Alex bagaimanapun membulatkan hati dengan kemunculan semula dalam dunia seni menerusi drama TPI.

“Pernah suatu ketika saya berasa kecewa kerana menjadi mangsa manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Tetapi hal itu telah lama berlalu dan biarlah menjadi sejarah.

“Sekarang fokus lebih diberikan kepada bidang lakonan biarpun terikat dengan kerjaya sebagai pelatih kesihatan peribadi,” kata anak jati Kuala Lumpur itu.

Tidak menjadikan pengalaman silam sebagai alasan untuk menyerah kalah, Alex memperkemaskan diri dengan ilmu lakonan hasil daripada pembelajaran bersama rakan-rakan yang bergiat aktif dalam dunia teater.

“Saya gemar mengikuti mereka membuat latihan dan saya sendiri pernah terlibat dalam pementasan teater berjudul Gelanggang Tok Wali pada tahun lalu,” ujar jejaka berusia 30 tahun itu.

Previous Post Next Post