Pekin Enggan Arah Drama Kerana Banyak Undang-Undang


Pelakon Pekin Ibrahim belum terfikir untuk mengarah telefilem atau drama bersiri biarpun ada menerima pelbagai tawaran selepas filem pertama arahannya Mat Moto mendapat kutipan cemerlang di pawagam iaitu sebanyak RM4 juta.

Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 34, berkata, dia menolak tawaran diberikan kerana bukan mudah untuk mengarahkan drama kerana banyak 'undang-undang' yang perlu dipatuhi selain mengehadkan kreativitinya sebagai pengarah.

"Alhamdulillah tawaran mengarah telefilem dan drama bersiri ada tetapi saya tidak berani nak ambil kerana banyak 'undang-undang' yang perlu dipatuhi.

"Tidak seperti filem atau dokumentari, sebagai pengkarya kita lebih bebas menentukan pengisian dan tema cerita yang ingin dibuat tetapi ia tidak diguna pakai untuk drama.

"Bagi mengelakkan masalah lebih baik saya tolak dan kena lebih banyak belajar dan memahami peraturan sebelum menerima tawaran mengarah drama," katanya kepada mStar Online.

Pekin ditemui pada majlis tayangan perdana dokumentari The Rejection yang diadakan di Kafe Skrin, Hulu Klang di sini pada Rabu.



Pekin Ibrahim

Ia adalah projek tanggungjawab sosial korporat yang terkandung dalam modul kursus Ijazah Sarjana Muda Industri Kreatif, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pekin adalah penuntut jurusan berkenaan.

Dalam pada itu, Pekin berkata, selepas Mat Moto dia ada merancang untuk muncul dengan filem terbaharu namun tidak akan duduk di kerusi pengarah sebaliknya bertindak sebagai penulis skrip dan penerbit.

Kata Pekin, dia sudah pun mempunyai beberapa skrip namun sedang menunggu masa sesuai memandangkan dia kini sedang sibuk dengan aktiviti lakonan dan pengajian jarak jauh di UUM.

"Filem selepas ini adalah karya asal Pekin Ibrahim, arahan Bade Azmi tetapi ia masih dalam peringkat pra-produksi dan Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar ia adalah sebuah naskah istimewa daripada saya.

"Sekarang saya agak sibuk dengan lakonan, menulis buku termasuk dengan kuliah di UUM dan ini pun baharu sahaja selesai menduduki peperiksaan akhir," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Pekin berkata, selain The Rejection dia juga bakal muncul dalam filem Munafik arahan Syamsul Yusof dan baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem Volkswagen Kuning.

Previous Post Next Post