Percaturan Shukri Yahaya Kerjaya, bisnes seiring


NAMA Shukri Yahaya dalam industri seni barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi. Sejak tampil dengan lakonan berkesan menerusi drama Ruby sebagai Danny, Shukri terus membuktikan kemampuannya di dalam bidang lakonan menerusi lakonan cemerlang dalam drama bersiri Dia... Isteri Luar Biasa.

Semenjak itu, kelibat Shukri dalam drama mahupun telefilem mula mendapat perhatian ramai.

Tidak hanya bersandarkan kepada satu kerjaya semata-mata, Shukri memberanikan diri menceburi bidang perniagaan menerusi kolaborasi bersama jenama baju lelaki, Furby and Sugar (F&S).

Menampilkan koleksi terbaharu Furby and Sugar X Shukri, ia merupakan kerjasama idea pelakon tersebut dengan pemilik jenama (F&S), Januar Haikal yang mengetengahkan konsep 'eclectic'.

Bercerita mengenai kolaborasi tersebut, Shukri berkata, dia dan Januar sudah berkawan semenjak sekolah lagi. Namun hubungan mereka mula akrab semenjak beberapa tahun lalu.

"Semua rekaan adalah berkisarkan perkongsian cerita kami yang sering melancong ke luar negara dan ilham rekaan ini tercetus ketika kami berada di sana.

"Selain itu, rekaan terbaru ini turut menampilkan konsep 'brotherhood' di mana ia dapat dilihat menerusi video kempen jenama F&S, selaras dengan sasaran pasaran yang lebih kepada golongan lelaki," katanya.


Tambah Shukri, selain mengekalkan tren warna hitam dan emas, rekaan kolaborasi itu juga didatangkan dengan warna putih dan biru firus.

Empat rekaan kolaborasi tersebut ialah Signature Shukri, Kaleidoscope, Porter dan Essential.

Biarpun sudah terlibat dalam bidang perniagaan, namun Shukri berkata, dia masih meletakkan karier seninya sebagai keutamaan dan urusan perniagaan diserahkan kepada Januar.

Berkongsi perkembangan terkininya, Shukri berkata, dia bakal memulakan penggambaran drama bersiri Suami Tanpa Cinta dan Hantu Punya Bos.

Ujar Shukri, sejak akhir-akhir ini, dia sering menerima tawaran untuk membawakan watak adaptasi novel.

"Saya rasa trend drama adaptasi masih belum berakhir dan tidak dinafikan saya banyak mendapat tawaran melibatkan drama adaptasi.

"Walaupun ada sesetengah pembaca sudah mempunyai imaginasi mereka sendiri mengenai sesuatu karakter, tapi saya akan tetap juga membawa dan memberikan yang terbaik kepada penonton," katanya.

Oleh itu jelas Shukri, dia hanya menerima satu tawaran pada satu masa dan cuba mengubah penampilan dan karakter untuk drama-drama yang berikutnya.

"Saya memang tak berani terima satu tawaran dalam masa yang sama kerana biasanya untuk satu karakter itu, saya akan pastikan mengubah penampilan untuk karakter lain.

"Contoh sekiranya saya selesai satu tawaran, sebulan selepas itu baru saya akan terima tawaran baharu.

"Bagaimanapun saya tak terlalu memilih kerana bagi saya ini rezeki dan sebagai seorang lelaki yang sudah menjadi ketua keluarga, saya perlu mencari rezeki untuk keluarga saya," ujarnya.

Video kehamilan

Bercerita mengenai sisi peribadinya, Shukri melahirkan rasa syukur di atas kehamilan isterinya, Tya Adnan yang kini berusia tiga bulan.

Tidak menyangka dikurniakan rezeki secepat ini selepas mendirikan rumah tangga pada 20 November lalu, Shukri hanya mengetahui berita kehamilan itu selepas Tya menghantar sebuah video yang disuntingnya.

"Ketika itu saya berada di lokasi penggambaran. Memang agak sebak momen pada ketika itu, tapi saya sangat gembira dengan berita yang disampaikan.

"Kalau boleh saya mengimpikan anak lelaki, tetapi apa sahaja yang ALLAH SWT kurniakan, saya terima," ujar Shukri.

Shukri berkata, biarpun sibuk dengan kerjayanya sebagai pelakon, namun dia sedaya upaya untuk meluangkan masa dengan isterinya sebaik mungkin.

Malah dia juga bersyukur kerana Tya amat memahami jadual kerjanya yang padat.

"Sejak dia hamil, saya ada bantu dia membuat kerja rumah.

"Walaupun sibuk, saya cuba sedaya upaya luangkan masa bersamanya. Jadi biasanya lepas habis penggambaran saya akan terus pulang ke rumah.

"Malah sejak Tya hamil, saya sudah pun mula membuat persiapan dari segi kewangan dan membaca buku serta menambah pengetahuan menjelang kehadiran orang baharu," katanya yang bakal menimang cahaya mata pada Ogos ini.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »