Siti Nordiana kembali berlakon


SITI NORDIANA akan kembali ke lokasi penggambaran pada bulan hadapan apabila terbabit dengan drama rantaian arahan Micheal Ang.

MENYOROT perjalanan seni penyanyi Siti Nordiana, ramai yang tidak mengetahui bahawa juara Gegar Vaganza 2 (GV2) itu pernah menyelinap masuk dalam bidang lakonan. Antara drama yang pernah dijayakannya adalah Wad 04, Helah, 3 Dara Pingitan dan Aku Budak Minang 2.

Usai menjuarai GV2, pemilik nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, 31, mengakui, rezeki dalam bidang seni semakin melebar biarpun kadangkala dia tidak cukup tangan memenuhi setiap tawaran yang dihulurkan.

Kata penyanyi yang mesra membahasakan diri sebagai Nana, kali terakhir dia menjalani penggambaran kira-kira dua tahun lalu. Meskipun bersedia kembali melibatkan diri dalam bidang lakonan, itu tidak mengganggu fokus pelantus lagu Bukan Mengungkit Tapi Membangkit itu memberi keutamaan terhadap nyanyian.

Terbaharu, Nana terlibat dengan penggambaran sebuah drama bersiri arahan Micheal Ang untuk terbitan Astro.


ARTISMELETOP!: Boleh Nana ceritakan lebih terperinci tentang penglibatan dalam drama terbitan Astro tersebut?

SITI NORDIANA: Ya, ia adalah sebuah drama yang bakal ditayangkan di saluran Astro Ria arahan Micheal Ang. Watak lakonan saya tidak boleh diperincikan lagi, tetapi apa yang boleh dikongsi saya akan melakonkan karakter seorang pereka fesyen. Saya akan memulakan penggambaran drama 16 episod itu pada Mac nanti.

Bagaimanakah perasaan untuk kembali ke set penggambaran kali ini. Dengarnya anda diberi kepercayaan melakonkan watak utama?

Sebenarnya saya berasa tidak sabar kerana sudah lama tidak berlakon. Pengalaman berlakon dahulu untuk VCD, ia bukan untuk slot popular di televisyen. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang Tuhan kurniakan kepada saya. Saya berharap lakonan saya nanti tidak mengecewakan.

Tidakkah anda gusar akan ada suara nakal mengatakan anda seorang yang tamak hendak melakukan banyak perkara dalam satu masa?

Sebelum bersetuju menerima tawaran berlakon saya sudah memeriksa jadual karier dan ternyata memang saya boleh membahagikan masa dengan baik. Saya yakin akan memberikan komitmen bagi menjayakan watak dalam drama tersebut. Bercakap tentang tamak, saya tidak rasa begitu. Saya cuma ingin mencuba sesuatu yang sudah lama saya tinggalkan. Sebelum ini, perjalanan kerjaya saya agak suram, kenapa apabila mula diberi perhatian, perlu saya tolak? Biarlah apa orang ingin katakan. Biarlah, asalkan apa yang dilakukan tidak mencemarkan nama baik saya sebagai seorang wanita dan ibu, saya akan cuba berikan yang terbaik.

Baiklah, bagaimana pula dengan bidang nyanyian?

Seperti yang dijanjikan pihak Astro, saya akan keluar dengan single baharu selepas menjuarai GV2. Buat masa sekarang, ia masih lagi dalam proses. Sebuah lagu pop balada ciptaan komposer Omar K akan dilancarkan dalam masa terdekat. Saya harap peminat bersabar sehingga lagu tersebut dilancarkan nanti.

Maaf bertanya, tidakkah anda merasakan sokongan peminat hanya hangat ketika anda bertanding di GV2 sahaja? Apabila sudah tamat program tersebut, sokongan daripada peminat semakin berkurang?

Saya tidak rasa begitu. Kalau benar pun ia terjadi, saya tidak akan mengalah. Saya perlu terus hadirkan produk berkualiti untuk menyemarakkan kerjaya nyanyian saya.

Pastinya selepas nama kembali mekar dalam lapangan seni, banyak perkara telah berubah dalam hidup. Boleh anda kongsi perubahan tersebut?

Saya akui banyak yang telah berubah, tetapi saya masih Siti Nordiana yang sama. Hasil pendapatan pun semakin meningkat, tetapi saya bukan jenis yang suka berbelanja mewah. Saya lebih suka menyimpan wang untuk kegunaan masa depan terutama untuk anak saya, Rayyan. Cita rasa saya terhadap pakaian dan beg tangan pun masih sama seperti dahulu iaitu suka membeli di butik H&M dan Cotton On sahaja (ketawa).

Kedengaran ironi apabila anda mengatakan bahawa anda berhati-hati dalam berbelanja tetapi anda menghabiskan sejumlah yang agak besar membeli mikrofon berharga ribuan ringgit baru-baru ini. Apa komen anda?

Pembelian mikrofon tersebut demi keselesaan melakukan persembahan dan melancarkan kerja saya mencari rezeki buat diri dan Rayyan. Saya tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk. Apabila saya selesa, barulah saya boleh beri kualiti kerja yang terbaik.

Previous Post Next Post