Syamsul Yusof: Filem Munafik Saya bukan mahu mengajar


TIADA niat untuk mengajar sesiapa melalui filem terbaharunya, pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof akui bimbang sambutan yang bakal diterima Munafik.

Memilih untuk berpijak di bumi yang nyata, Syamsul menafikan beliau mempunyai ramai peminat yang sentiasa menanti setiap karyanya.

"Saya terus terang, Munafik ini adalah filem paling saya takut sekali. Saya tak tahu kenapa. Mungkin sebab...sambutanlah.

"Tapi sebenarnya perasaan itu bagus juga. Sepanjang saya menghasilkan skrip hingga penggambaran, saya asyik fikir 'orang kena tengok filem ini', jadi, saya berikan yang terbaik," katanya ketika ditemui pada sambutan ulang tahun ke-10 syarikat Arteffects International, di sini, hari ini.

Munafik mengisahkan tentang seorang pengamal perubatan Islam bernama Adam lakonan Syamsul, tidak dapat menerima takdir apabila isterinya meninggal dunia.

Adam melalui pelbagai pengalaman pelik apabila dipujuk untuk mengubati seorang wanita bernama Maria lakonan Nabila Huda yang diganggu syaitan.

Sementara itu, Syamsul berkata tercetusnya idea untuk menghasilkan filem ini datang selepas dia mendengar ceramah tentang orang munafik.

"Satu perkara yang betul-betul mencengkam jiwa saya ialah orang munafik ini tempatnya dalam neraka paling bawah sekali. Di situ, saya tersentak dan fikir bahawa saya perlu buat filem," katanya.


Dia turut meminta orang ramai tidak cepat menghukum filem tersebut sebelum menontonnya.

"Ada yang mengatakan apa kena mengena munafik dengan hantu? Sebab itu kena tonton dulu filem ini. Ada kaitannya. Jangan cepat menghukum sesebuah filem itu.

"Filem ini bukan mahu mengajar penonton apa itu munafik. Sebab ini adalah filem gabungan fantasi dan realiti. Kalau nak tahu apa itu munafik secara tepat kena dengar ceramah, hadirilah kuliah. Tapi melalui filem ini penonton akan tahulah serba sedikit," katanya.

Syamsul mengambil masa sehingga lima bulan untuk mengumpulkan idea, plot, penceritaan dan dua bulan untuk penulisan skrip.

Ceritanya, ada penonton yang menangis ketika menyaksikan filem Munafik sebelum ini.

"Tadi saya 'check print', ada (penonton yang) lelaki menangis. Saya pun pelik kenapa cerita seram dia menangis tapi itulah, ini antara kita dengan Tuhan.

"Banyak yang saya cuba sampaikan secara langsung dan tidak langsung," katanya.

Menyifatkan Munafik sebagai 'comeback' untuknya selepas isu filemnya, KL Gangster 2 bocor dia seoalah-olah merajuk.

"Memang amat tepat sekali 'comeback' saya dengan Munafik dan lagu Kalah Dalam Menang. Saya betul-betul nk sampaikan kepada pendengar dan penonton itu sesuatu.

"Setiap orang ada tanggungjawab untuk berdakwah, tak semestinya jadi ustaz," katanya yang mahu fokus kepada bidang nyanyian untuk tahun ini.

Lagu OST untuk filem Munafik, Kalah Dalam Menang nyanyiannya bersama Mawi mendapat respons positif yang memberinya semangat untuk terus menghasilkan lagu yang bermakna.

Sebelum ini, Syamsul sempat menyampaikan hasrat untuk menjadi artis naungan Arteffects International kepada pemiliknya, Hafiz Hamidun.

Previous Post Next Post