Awie mohon kaji semula pertuduhan cedera bekas isteri


PENYANYI Rock Awie yang didakwa atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya di kaunter PNB Jalan Tun Razak dua tahun lepas, akan mengemukakan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji semula pertuduhan terhadapnya.

Peguam Hazman Harun yang mewakili vokalis kumpulan Wings atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, memaklumkan perkara itu ketika kes disebut semula di hadapan Majistret Husna Dzulkifly.

"Terdapat perkembangan baharu membabitkan OKS (orang kena saman) iaitu Awie dan pihak kami memohon mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes baharu bagi memberi masa kepada kami untuk mengemukakan surat representasi tersebut," kataNYA.

Mahkamah menetapkan 16 Mac ini untuk pengurusan kes bagi mengetahui perkembangan representasi itu.


"Sekiranya tiada perkembangan terbaru, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan kes ini," kata Husna.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar.

Pada 15 Februari lepas, Awie yang juga bapa kepada lima anak itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Rozana Misbun, 38, di kaunter PNB Jalan Tun Razak, di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dua hari lepas, Mahkamah Majistret Ampang melepas dan membebaskan Awie daripada pertuduhan mencederakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang selepas kedua-dua pihak bersetuju kes itu diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM10,000 dan permohonan maaf secara terbuka daripada pihak Awie.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »