Cinta kedua Raja Azmi, Eddie


PENERBIT Raja Azmi selamat dinikahi semula oleh Eddie di Ukay Perdana, baru-baru ini. Pasangan tersebut bercerai pada 11 November 2014 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Ampang Selangor.

Benarlah kata pepatah, kalau sudah jodoh, tidak akan ke mana. Situasi sebegitulah yang menggambarkan jodoh dan pertemuan penerbit popular Raja Azmi Raja Sulaiman dengan pemuzik, Mohd. Eddie Ghazali.

Selepas hampir setahun bercerai, penerbit filem Black Widow tersebut mengambil keputusan untuk kembali bergelar isteri kepada bekas suaminya Eddie pada 27 Februari lalu.

Saat kembali sah dinikahkan, cahaya kesyukuran jelas terpancar di wajahnya. Mesra dibahasakan Kak Mi, wanita itu lega dan terharu kerana Tuhan memberikannya peluang untuk mengenali hati budi Eddie buat kali yang kedua, sekali gus membuka kembali pintu bahagia mereka berdua.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Saya berasa sangat gembira kerana Tuhan memberikan saya kekuatan untuk kembali mengenali Eddie.

“Nampaknya, peluang kedua tersebut tidak berakhir dengan sia-sia. Kami cuba untuk menerima kekurangan masing-masing seadanya dan saya berharap, biarlah perkahwinan kedua ini kekal sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui usai majlis akad nikah yang berlangsung di Surau Sering Ukay, Ukay Perdana, Ampang, Selangor.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan-rakan terdekat.

Mengimbas kembali kronologi kisah rumah tangga Raja Azmi dan Eddie, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga buat kali pertama pada 13 Oktober 2013. Setahun kemudian, iaitu pada 11 November 2014, mereka mengambil keputusan untuk berpisah bercerai secara baik.

Namun, cinta dalam diri wanita yang berusia 57 tahun itu kembali berputik selepas melihat usaha yang dilakukan Eddie untuk memenangi hatinya.

“Selepas bercerai, Eddie dan saya kekal sebagai rakan karib. Dia kerap singgah ke rumah untuk bertanya khabar dan berjumpa dengan cucu-cucu saya.

“Pada masa yang sama, dia tidak jemu-jemu memujuk saya untuk kembali bersamanya. Tanpa disangka, jodoh saya dan Eddie kembali bertaut,” jelas Raja Azmi yang begitu mengagumi usaha Eddie sepanjang menanamkan kembali rasa percaya terhadap perkahwinan dalam dirinya.



TUTUP buku lama, buka buku baharu. Itu janji Raja Azmi dan Eddie untuk menjaga keharmonian pernikahan kedua mereka kali ini.

Bercinta kembali

Menyambung perbualan, pelakon drama Sha & Shah itu berkata, mereka banyak bermuhasabah dalam mempersiapkan diri untuk menempuh alam perkahwinan bersama.

Katanya, perceraian terdahulu banyak mengajarnya dan Eddie mengenai kefahaman tentang sisi positif masing-masing.

“Dahulu, saya agak kurang pasti apakah punca utama kami berpisah. Saya sendiri tidak mahu mencari jawapan dan hanya redha dengan apa yang berlaku.

“Tetapi, selepas bermuhasabah diri, barulah saya mengerti bahawa sikap tolak ansur itu penting dalam hubungan suami isteri.

“Daripada situ, saya belajar untuk mencintai dan menghargai Eddie,” katanya.

Kongsi Raja Azmi, mereka berdua turut telah bersetuju untuk melupakan perkara lama, dalam masa sama membuka buku baharu kehidupan.

“Kami cuba untuk membuang perangai buruk masing-masing dan sama-sama membina keharmonian dalam hubungan kali kedua ini,” ujar Raja Azmi positif.

Bercerita mengenai perkembangan kariernya, Raja Azmi baru sahaja menamatkan penggambaran drama bersiri berjudul Marhaban Kome Oi!!! di Perak pada 29 Februari lalu.

Mengambil kesempatan sepanjang berada di sana, Raja Azmi dan Eddie akan terus bercuti dan berbulan madu sebelum kembali menyambung tugas masing-masing di Kuala Lumpur.

“Saya dan Eddie tidak bercadang untuk berbulan madu di tempat yang jauh. Kebetulan, selepas selesai penggambaran di Perak, saya dan Eddie akan bercuti dan menghabiskan masa beberapa hari di sana,” katanya menutup perbualan.

Previous Post Next Post