Farah Nabila tak terburu kejar karier


NAMA Farah Nabila sememangnya masih asing di kalangan peminat seni tanah air.

Sementelah, sebelum ini gadis berusia 24 tahun ini hanya muncul menerusi peranan-peranan kecil di awal pembabitannya dalam bidang seni sekitar tahun 2011.

Pun begitu, namanya kini seakan semakin mendapat perhatian apabila muncul menerusi drama bersiri Inikah Cinta bergandingan bersama pelakon Niezam Zaidi baru-baru ini.

Mengakui lebih mementingkan pendidikan berbanding karier sebagai pelakon, kata Farah Nabila, dia tidak pernah terburu-buru dalam mengejar kerjayanya.

"Mungkin sebelum ini tiada siapa perasan kehadiran saya, tetapi saya bersyukur sekarang orang mula mengenali saya.

"Bagi saya, tidak perlu dikenali terlalu cepat kerana sampai masa ia boleh tenggelam cepat juga," kata pelakon Pucuk Muda Kerabu Taugeh itu.

Menurut Farah, jika sebelum ini dia pernah nekad menolak bidang lakonan kerana ingin memberikan fokus terhadap pendidikan, sekarang tidak lagi.

"Empat tahun lepas saya masih sangat muda. Ketika itu, pendidikan menjadi pilihan utama saya.

"Sekarang, mungkin masa sesuai untuk saya fokus kerjaya dan mencipta nama pula.

"Walau pun kini masih belajar tetapi tahun ini adalah tahun terakhir dan saya sudah boleh memberi komitmen penuh terhadap kerja selepas bergelar graduan," kata penuntut jurusan psikologi ini.

Katanya juga, dia tidak berasa tempoh beberapa tahun dihabiskan untuk belajar sebagai satu kerugian.

"Berlakon ini ada pasang surutnya tetapi tidak ilmu. Jika satu hari tidak diterima dalam industri, hanya ilmu menjadi bekalan masa hadapan," katanya.

Kerana itu, gadis manis ini sanggup melepaskan rezekinya dalam bidang seni buat sementara waktu.

"Daripada meninggalkan kuliah untuk lakonan, saya lebih rela meninggalkan kerjaya.

"Sukar untuk meneruskan pendidikan jika sudah mula obsesi dengan kerja nanti," katanya.

Berkongsi perasaannya semakin dikenali kini, kata Farah, dia cukup bersyukur apabila Inikah Cinta berjaya memberi lakonan berkesan kepada penonton.

"Saya sudah lama tidak beraksi depan kamera, jadi apabila penggambaran memang terasa kekok dan janggal.

"Bagaimana pun, bantuan pengarah, pelakon lain serta pihak produksi membuatkan saya lebih seleasa.

"Daripada situ juga saya cuba gilap kembali bakat dalam diri untuk tampak lebih semula jadi," katanya.

Jelasnya, sebelum ini dia sering dikritik sepupunya berkaitan bidang lakonan.

"Memang selalu dia katakan saya 'kayu' dahulu, tetapi sekarang lebih baik.

"Saya harap, drama bersiri tersebut menjadi kayu pengukur kepada lakonan saya selepas ini," katanya.


Selami karakter

Pada masa sama, membawakan watak Rose Adeline juga cabaran baharu kepada Farah.

"Seperti saya katakan, sudah lama tidak berlakon membuatkan saya gugup.

"Diberikan pula watak utama, jadi ia cabaran lebih berat kepada saya. Jadi untuk selami karakter itu, saya gunakan ilmu yang ada.

"Sebagai pelajar jurusan psikologi, sedikit sebanyak ilmu dipelajari boleh digunakan menyelami atau menjiwai sesuatu karakter itu," katanya.

Farah mengakui, bagi mendapatkan mutu lakonan lebih baik, dia menonton sekurangnya sebuah filem setiap malam.

"Sudah menjadi rutin hidup saya menonton apa sahaja genre setiap malam.

"Setidaknya, ia membantu saya mempelajari teknik lakonan, menghayati watak dan sapa sahaja saya rasakan penting untuk seorang pelakon itu.

"Saya mahu, penampilan saya kali ini lebih baik berbanding sebelum ini, sekali mendapat watak utama, orang pasti melihat kita lagi," katanya.

Farah memberitahu, jika kini bukan waktu tepat dia bergelar pelakon, dia terima rezeki ditentukan untuknya.

"Ada pelakon yang naik dengan satu projek sahaja, selepas itu mereka diam kerana tidak ada tawaran lain.

"Kalau boleh saya tidak mahu begitu, tetapi jika sudah berusaha dan tiada rezeki, apa boleh saya lakukan.

"Yang penting saya sudah berusaha, seperti saya katakan, saya tidak mahu terburu-buru, sama ada cepat atau lambat, saya terima sahaja," katanya.

Mengakui industri dibanjiri muka baharu, kata Farah, dia tidak gentar dengan cabaran sebegitu.

"Insya-Allah, jika kita diperlukan, pasti pihak penerbit akan mencari kita. Lagi pun, lambakan muka baharu bagus kerana memberi persaingan sihat," katanya.

Pernah bermula sebagai model iklan dalam industri ini, kata Farah, dia sebenarnya turut memasang impian sebagai hos.

"Saya sering gementar berhadapan kamera, mungkin lebih baik saya kekal sebagai pelakon sahaja. Lagi pun menjadi hos bukan mudah, ia perlukan keyakinan tinggi," katanya lagi.

Previous Post Next Post