Kebangkitan semula Shae


FENOMENA single pertama Sayang yang berlaku empat tahun lalu benar-benar memberi impak besar terhadap karier nyanyiannya bukan sahaja di Indonesia, malah turut terkesan di negara ini.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan penyanyi berdarah kacukan Australia dan Indonesia ini meraih penghargaan platinum menerusi album sulungnya The First selain 10x platinum ‘ring back tone’ (RBT) untuk lagu Sayang.

Melihatkan pencapaian itu, ia bukanlah mudah apatah lagi Shae nama baru masih mencari arah tuju kariernya ketika itu.

Berpegang teguh prinsip tidak mudah berpuas hati dengan perkara dilakukan, Sheryl Gething atau Shae bagaimanapun enggan meletakkan harapan besar sebaliknya menjadikan perjalanan hidupnya sebagai kejayaan terbaik pernah dicapai.

“Bercakap mengenai tahap tertinggi ingin saya capai, sebenarnya ia telahpun berlaku sekarang. Ketika berusia lapan tahun, kali pertama saya mendengar nyanyian Britney Spears di televisyen telah menarik minat saya untuk ceburkan diri dalam bidang ini.

"Sejak itu saya mula mula bekerja keras walaupun pada dasarnya saya tidak memiliki bakat dalam nyanyian. Tapi kerana terlalu cintakan muzik, saya harus memastikan ia akan tercapai.

“Daripada kredibiliti, cara bekerja dan beberapa kejayaan yang saya raih pada hari ini ia dilihat sebagai pencapaian terbesar.

“Perjalanan itu sudah cukup membuktikan bahawa saya sekarang sudah berada di tahap terbaik dan saya harus bangga dengan diri sendiri. Lagipun saya bukan seorang yang terlalu mengejar anugerah sebagai kejayaan tapi cukuplah menjadi yang terbaik buat diri sendiri dan seterusnya kepada peminat,” katanya bersemangat.


Biarpun begitu, kejayaan dicapai suatu ketika dahulu bukanlah jaminan buatnya terlepas daripada melalui perit getir sebagai anak seni yang ada pasang surutnya.

“Semakin tinggi nama saya ketika itu, semakin banyak juga tekanan diterima terutamanya mendengar sesuatu yang tidak penting dalam hidup.

“Kritikan dan tanggapan negatif diberikan sesetengah pihak memberi kesan kepada saya sehingga saya hilang keyakinan diri.

“Alhamdulillah, atas dugaan ini akhirnya saya sedar apa dilakukan hari ini adalah untuk diri sendiri dan mereka menerima saya seadanya. Apa yang berlaku itu membuatkan saya lebih memahami industri dan diri sendiri,” katanya yang mendedahkan terpaksa menjalani rawatan hipnoterapi akibat gangguan emosi selama enam bulan pada dua tahun lalu.

Lebih matang

Kembali positif dalam menjalani karier, gadis berusia 22 tahun ini bangkit dengan buah tangan terbaharu, Seperti Magic yang dianggap mampu menonjolkan kekuatan vokal dan karyanya.

“Saya ambil masa empat tahun menyiapkannya dan Alhamdulillah, dalam waktu itu banyak saya belajar sehingga diberi kepercayaan menghasilkan karya sendiri dalam album ini.

“Sebanyak 10 lagu diselitkan dalam album ini, dua daripadanya ciptaan sepenuhnya saya sendiri iaitu lagu Pecah dan Cantik.

“Walaupun saya tidak suka berharap tapi saya hanya manusia. Kalau boleh saya mahu ia diterima baik sama seperti album pertama atau lebih baik dari itu,” jelasnya.

Diusik dengan soalan peribadi, Shae dilihat lebih terbuka mengenainya namun akui masih belum memiliki seseorang yang istimewa.

“Bagi saya, sesuatu perhubungan itu adalah pelaburan. Jadi saya tidak mahu bercinta untuk satu jangka masa kemudian ia tidak akan berhasil. Ia hanya akan membuang masa saya.

"Dalam soal ini saya sangat serius dan sekarang saya lebih selesa berkawan dengan semua orang lagi pun saya belum berjumpa dengan seseorang yang benar-benar menerima saya seadanya,"katanya.

Previous Post Next Post