Pelajar Teruja Telur Ayam Menegak Semasa Cerap Gerhana Matahari


Tarikan graviti antara bumi, matahari dan bulan yang sangat kuat menyebabkan telur dalam keadaan menegak semasa proses gerhana matahari, Rabu.

Kejayaan menegakkan telur ayam semasa gerhana matahari separa adalah di antara aktiviti yang mengujakan bagi pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Menghulu di sini sewaktu program pencerapan anjuran Observatori Negara Langkawi (ONL).

Fenomena yang berlaku ekoran peningkatan graviti semasa gerhana itu menjadi pengalaman menarik bagi para pelajar berkenaan yang rata-ratanya belum pernah menyaksikan kejadian itu sebelum ini.

"Ia merupakan peluang yang tidak selalu berlaku yang dapat dipelajari oleh pelajar-pelajar muda ini," kata Penolong Pegawai Sains ONL, Karzaman Ahmad semasa ditemui dalam program itu.




Menurutnya ONL menyediakan empat peralatan pencerapan mudah alih selain skrin layar besar dan projektor bagi membolehkan pelajar-pelajar serta orang ramai menyaksikan gerhana itu yang bermula kira-kira pukul 7.33 pagi dan berakhir dua jam kemudiannya.

"Solat sunat gerhana turut diadakan selain aktiviti pameran, kuiz dan ceramah yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar dan guru sekolah ini," katanya.

Previous Post Next Post