Shiha lebar sayap ke seberang


SEKITAR tahun 2011, nama pe­nyanyi Shiha acap kali menjadi sebutan ramai. Ketika itu dia masih baru lagi untuk mengenali industri seni tanah air. Menyertai program realiti Mentor musim kelima pada tahun yang sama, di situlah anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini mula bertapak sebagai pe­nyanyi.

Walaupun sekadar menempatkan diri sebagai naib juara pada pertan­dingan tersebut, Shiha boleh dianggap cukup bertuah. Mana tidaknya, dalam ribuan peserta yang mahu menyertai program berkenaan, dia terpilih untuk menjadi protege kepada biduanita negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

Berpeluang berguru dengan seorang penyanyi legenda tanah air, sememang­nya ia merupakan satu peluang dan kenangan yang paling bermakna dalam hidupnya. Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan sehingga kini apabila menyebut nama Shiha, ramai yang masih terlintas di benak ma­sing-masing dengan mengaitkan dirinya sebagai anak didik kepada biduanita ulung itu.

Bukan itu sahaja, sewaktu hayatnya juga, Allahyarham Sharifah Aini sendiri pernah mengakui dan memuji bakat suara yang ada pada diri Shiha yang dianggapnya sebagai seorang penyanyi yang mempunyai pakej yang cukup lengkap.

Sungguhpun begitu, entah di mana silapnya, tidak lama selepas usai program tersebut, nama Shiha boleh dikatakan agak sedikit kelam. Bertahun-tahun namanya jarang disebut-sebut, namun semuanya berubah sekelip mata selepas dia menyertai program realiti D’Academy Asia di Indonesia baru-baru ini.

“Selepas Mentor, ramai yang cakap saya agak sunyi. Sebenarnya, saya tidak pernah berhenti. Walaupun orang tidak nampak di televisyen atau radio, perjalanan saya sebagai penyanyi berjalan seperti biasa. Cuma lebih kepada persembahan di acara-acara korporat,” katanya yang pernah mengacarakan program Jalan-Jalan Cari Makan.



Peminat di Indonesia

Apa yang pasti, penangan yang diterimanya boleh dikatakan cukup luar biasa, terutamanya daripada peminat di negara seberang. Semuanya, gara-gara pembabitannya dalam program D’Academy Asia itu yang mengangkat namanya. Apatah lagi, ramai yang menggelarnya sebagai Ocha Malaysia dek memiliki wajah persis penyanyi kelahiran Indonesia, Datuk Rossa.



“Sambutan di sana memang luar biasa. Tidak pernah saya terima sambutan sebegitu di sini. Bayangkanlah, sewaktu di Indonesia ada yang sanggup datang naik kapal terbang demi bertemu saya semata-mata nak beri hadiah. Ada juga yang sanggup cari dan tunggu saya di lobi hotel tempat saya menginap untuk berjumpa.

“Saya cukup terharu dengan sambutan yang di­terima. Jauh di sudut hati rasa sebak, maklumlah sesuatu yang kita tidak jangka, orang menghargai kita seperti itu, rasa bersyu­kur sangat,” kata penyanyi berusia 29 tahun itu ketika bertandang ke Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini bagi sesi fotografi muka depan Sensasi Bintang kali ini.

Tatkala namanya mula disanjung di Indonesia, Shiha sedar perubahan penerimaan orang yang berada di sekelilingnya. Bahkan, ada juga yang baru mula ‘melihat’ kehadirannya kini. Sungguhpun begitu, Shiha tidak pernah berkecil hati. Baginya, dia menganggap itu perkara lumrah dalam kehidupan.

“Mungkin kalau kita buat sesuatu yang lebih besar, baru orang akan nampak. Bagaimanapun, saya tak berkecil hati pun.

“Cuma, saya dapat lihat siapa yang betul-betul nak bantu saya dalam industri. Ada yang dahulu tak mahu tolong, tetapi sekarang sudah mahu tolong. Ada orang sudah buka mata. Apapun, saya anggap itu situasi normal, saya pun kadang-kadang begitu, apabila artis sudah naik baru perasan,” luahnya.

Mengakui mahu mengukuhkan terus namanya di Indonesia, kata Shiha, itu tidak bermaksud, dia berniat untuk melupakan negara tercintanya. Baginya, kalau boleh, dia mahu terus melebarkan muzik yang dibawanya ke mana sahaja dirinya berada.

Lancar single

Cuma, pada masa sekarang, peluang yang datang dari negara luar perlu digunakan sebaik mungkin. Menganggap itu sebagai rezeki terindah buatnya setelah sekian lama menunggu, Shiha sentiasa berdoa dan mengharapkan yang terbaik dalam menjalani kehidupan mendatang demi mengejar cita-citanya.



“Shiha memang terfikir untuk teruskan di Indonesia. Saya harap pintu jalan di sana sentiasa terbuka untuk saya te­rus berkarier. Pada masa sama, saya juga mahu meneruskan karier di negara sendiri.

“Sebenarnya, ini memang impian saya untuk membina kerjaya di Indonesia. Cuma sebelum ini tak pernah terfikir saya boleh pergi memandangkan di sini pun saya masih merangkak lagi. Syu­kur program itu menjadi platform buat saya,” katanya yang mengakui berterima kasih kepada isteri komposer terke­nal Ajai, Liza Ilias yang mencadang­kan dirinya untuk menyertai program tersebut pada awalnya.

Tidak mahu menunggu lama, menurut Shiha, dia kini dalam proses promosi single terbaharunya berjudul Seperti Novel Cinta.

“Lagu itu merupakan ciptaan sepenuhnya daripada Ajai. Sebenarnya lagu itu sudah ada sejak bulan April tahun lalu dan dijadual diterbitkan pada Julai lepas. Cuma selepas masuk program di Indonesia itu, terpaksa ditangguhkan sementara waktu. Itu yang baru nak mulakan semula,” kata Shiha yang juga pernah membintangi drama Abang Sado Kau Ado.

Menurut Shiha, bulan ini, dia bakal sibuk di Indonesia bagi tujuan mempromosikan lagu itu kepada peminat-peminatnya di sana.

“Sepatutnya, cadang Februari lagi untuk masuk lagu ini ke Indonesia, cuma ada banyak program yang perlu saya hadiri sejak kebelakangan ini. Lagipun, saya juga perlu me­nunggu kelulusan visa bagi memudahkan urusan kerja di sana.

“Harap karier saya berjalan lancar dan diterima baik peminat-peminat di sini, Singapura, Indonesia dan Brunei,” katanya yang memberitahu keluarga merupakan pendorong utama dalam meneruskan kariernya.

Biarpun terpaksa berulang-alik antara dua negara untuk memenuhi tuntu­tan kerja, Shiha tidak pernah rasa terbeban. Sokongan padu yang diterimanya membuatkan dia mahu lebih terus berusaha dan memberikan yang terbaik buat peminatnya.

“Apabila saya baca komen-komen di Instagram, ramai sangat yang asyik bertanya bila saya mahu datang ke sana. Ada sekali tu, saya tidak memuat naik sebarang posting di Instagram, mereka sudah mula menghubungi pengurus saya bertanyakan perihal kea­daan diri.

“Itu yang buat saya rasa terharu dan meletakkan diri saya berasa terus selesa untuk berada di Indonesia. Harapnya (sokongan) tak berhenti di sini,” kongsinya menutup bicara.

Previous Post Next Post