Siti Nordiana bimbang dengan populariti


Siti Nordiana

MESKIPUN sudah mencipta nama sebagai penyanyi, Siti Nordiana kembali mengecap populariti selepas menjuarai Gegar Vaganza musim kedua, Disember lalu.

Menyifatkannya sebagai peluang kedua, Siti Nordiana yang lebih mesra disapa sebagai Nana mengakui istilah popular itu mengundang rasa gemuruh dan bimbang.

Sedar bukan mudah mengekalkan pencapaiannya itu, pemilik nama penuh Siti Nordiana Alias itu bagaimanapun enggan menyerah kalah.

“Jujurnya, saya akui bimbang populariti diterima. Tapi, pada masa sama, saya juga perlu berusaha dengan lebih kuat lagi sekali gus terus mengekalkan prestasi saya dalam industri hiburan. Jadi, apabila sudah mendapat peluang kedua ini, saya perlu mencuba untuk menjadi yang terbaik," katanya kepada Zass.

Jelasnya, demi mengukuhkan semula namanya dalam lapangan seni hiburan, Nana mengakui perlu bijak mengawal situasi dengan baik.

"Saya pernah melalui situasi seperti ini sewaktu bersama rakan duet saya, arwah Achik sekitar 1990-an. Ketika itu, saya masih muda lagi, jadi mungkin saya tidak pandai urus keadaan. Apa yang penting, saya juga mahu jaga hubungan baik sesama insan sama ada yang terlibat dalam industri ini atau tidak," katanya.

Kini, pelantun lagu Cinta Hanya Sandaran ini sibuk memenuhi undangan nyanyian selain terlibat dalam proses pembikinan single terbarunya.

"Sebenarnya, saya sedang menunggu lagu daripada komposer. Semuanya masih dalam peringkat perbincangan tetapi saya sudah pun maklumkan lebih awal apa yang saya mahukan," katanya.

Dalam pada itu, kemunculan semula Nana dalam bidang seni tidak hanya setakat dalam bidang nyanyian, sebaliknya wanita berusia 32 tahun ini teruja untuk kembali berlakon.

Terbaharu, pelantun lagu Paling Comel ini akan berkolaborasi dengan pengarah popular, Michael Ang untuk drama adaptasi, Dia Semanis Honey.

"Dalam tempoh tiga bulan ini, saya sibuk enggambaran 16 episod di samping Alif Satar. Saya akui teruja memandangkan sudah lama tidak berlakon. Saya tidak pernah dapat peluang seperti ini apatah lagi untuk slot yang popular," katanya.

Sehubungan itu, demi mengasah bakat lakonannya, Nana mengakui mendapatkan tunjuk ajar daripada rakan baiknya yang juga pelakon berbakat besar, Norkhiriah.

"Saya bukanlah ambil kelas lakonan, sebaliknya bertanya dan meminta pandangan terutama daripada segi gaya lakonan," katanya

Jelas Nana lagi, meskipun membuat dua kerja sekali gus, fokusnya dalam bidang nyanyian tidak pernah terganggu.

"Saya sudah bersedia daripada awal lagi. Insya-ALLAH, jadual saya juga disusun mengikut masa yang bersesuaian. Apa-apa pun, saya akan pastikan cukup rehat apabila hendak menyanyi," katanya.

Sebelum ini, Nana turut berlakon dalam beberapa drama dan telefilem seperti Wad 04, Helah, 3 Dara Pingitan, Nenas dan Ikanku, Aku Budak Minang 2 dan Prahara.


Sibuk berniaga

Biarpun perjalanan karier seninya kelihatan lancar, Nana masih meneruskan lagi perniagaan jubah dan pakaian Muslimah di bawah label Paling Comel yang diusahakan sejak empat tahun lalu.

Katanya, bidang perniagaan merupakan punca rezeki utamanya di kala namanya tidak menjadi sebutan orang ramai.

"Ya, saya masih berniaga lagi. Kalau ada kelapangan, saya sendiri akan turun padang dan bersama-sama rakan seperniagaan seperti Azza Elite, Norkhiriah dan Siti Fazurina. Malah, Norkhiriah kerap kali melahirkan perasaan sebaknya selepas melihat jatuh bangun saya dalam industri ini. "Saya bersyukur kerana punya kawan-kawan seperti mereka," katanya.

Lebih membanggakan, Nana mengakui perniagaannya itu semakin berkembang dan mendapat tempat di hati pelanggan.

"Selepas jubah dan pakaian Muslimah, saya kini berniaga selendang atas jenama NanaRayyan Hijab. Lagipun, saya juga kerap memakai selendang jadi apa salahnya kalau saya buat produk sendiri. Ia hanya selendang asas. Ramai juga pelawa saya jadi duta, tetapi saya tolak dengan baik kerana saya ada produk sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, walaupun sudah popular dan jadi tumpuan ramai bukanlah tiket untuk Nana berbelanja mewah.

Katanya, meskipun mampu berbuat demikian, Nana memilih untuk menyimpan demi masa depan anak lelaki tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie selain sebagai perbelanjaan harian.

"Ya, memang pendapatan kini lebih baik daripada dahulu, tapi itu tidak bermakna saya boleh hidup selesa dan beli barang berjenama. Saya selalu beringat dan simpan duit untuk anak saya," katanya.

Previous Post Next Post