ABPH Zizan Razak paling banyak tercalon



Pelakon dan pelawak Zizan Razak menerima pencalonan terbanyak dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013).
Zizan atau nama sebenarnya Razizan Razak, 30, tersenarai bagi lima kategori iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular dan Pengacara TV Lelaki Popular.
Manakala menerusi kategori dalam talian, Zizan dicalonkan bagi kategori Gandingan Di Layar Serasi (bersama Siti Saleha) dan Artis Berpengaruh Di Laman Media.
Pada ABPBH 2012 tahun lalu, Zizan pernah mendapat lapan pencalonan daripada 22 kategori dipertandingkan.




Zizan Razak

Pengumuman lima finalis akhir ABPBH 2013 diadakan di Hotel Royale Chulan di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, pelakon Siti Saleha berjaya mendapat tiga pencalonan pada acara tersebut menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular, Pelakon Filem Wanita Popular dan Gandingan Serasi Di Layar bersama Zizan.
Manakala, Yana Samsudin turut mendapat tiga pencalonan dan dua daripadanya menerusi kategori dalam talian iaitu Artis Wanita Stailo dan Artis Berpengaruh Di Laman Sosial.
Yana yang pernah memenangi anugerah Pelakon Filem Wanita Popular pada ABPBH 2012 sekali lagi dicalonkan dalam kategori sama pada tahun ini.

Sementara itu, ABPBH 2013 turut memperlihatkan nama-nama baharu yang berjaya menjadi lima calon terbaik seperti Chacha Maembong (Artis Baru Wanita Popular), Raja Ilya (Pelakon TV Wanita Popular), Pekin Ibrahim (Pelakon Filem Lelaki Popular), Jihan Musa (Artis Komedi Wanita Popular) dan Nik Michael Imran (Pengacara TV Lelaki Popular).



Yana Samsudin dicalonkan sekali lagi dalam katogeri Pelakon Wanita Popular.
Bagi kategori Penyanyi Wanita Popular, lima artis yang dicalonkan adalah Alyah, Najwa Latif, Shila Amzah, Yuna dan Stacy.
Manakala bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular, lima yang terpilih adalah Awi Rafael, Black Hanafiah, Hazama, Hafiz Suip dan Shahir.

Nama-nama lain yang dicalonkan pada anugerah tersebut adalah seperti Didie Alias (Artis Komedi Wanita Popular), Johan As'ari (Pelakon TV Lelaki Popular), Aaron Aziz (Pelakon Filem Lelaki Popular) dan Deejay Lin (Penyampai Radio Wanita Popular).
ABPBH 2013 turut memperkenalkan dua kategori baharu menerusi dalam talian iaitu Chef Selebriti Paling Popular dan Aksi Di Youtube Paling Popular.

Bagaimanapun dua kategori dalam talian yang diperkenalkan tahun lalu iaitu Artis Asia Paling Popular dan Watak Animasi Tempatan Popular dimansuhkan.

ABPBH 2013 yang memasuki edisi ke 27 penganjurannya bakal berlangsung pada 6 April 2014 di Arena of Stars, Genting Highlands dan akan bersiaran menerusi TV3 dan Hot FM.

Tema pada tahun ini adalah 'Magis Alam'.

Peminat boleh mengundi artis kegemaran mereka bermula 23 Januari hingga 11 Mac depan untuk menentukan pemenang bagi setiap kategori sekali gus memilih Bintang Paling Popular 2013.
Previous Post Next Post