Pelakon drama bersiri ‘Projek Memikat Suami’, Aiman Hakim Ridza mengakui hubungan yang dijalinkan bersama aktres ‘Ariana Rose’, Nur Fathia adalah satu hubungan yang serius. Sebelum ini, Aiman sering mengelak untuk menjawab soalan mengenai hubungan cintanya bersama Fathia dan hanya menjelaskan mereka sedang rapat serta mereka masih di dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
“Kami sedang berhubungan secara serius dan hubungan ini telah berjalan lebih kurang setahun. Doakan hubungan kami, Insya-Allah,” jelas Aiman ringkas ketika ditemui di sidang media teater ‘Bidasari’ di Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Rabu.
Mengulas mengenai mengapakah sebelum ini Aiman sukar untuk menjelaskan status hubungan antara dia dan Fathia, Aiman menjelaskan dia sebenarnya mahu hubungan mereka tidak terlalu dihebah-hebahkan.
“Tanggungjawab sebagai seorang pelakon berbeza dengan tanggungjawab kami sebagai seorang anak yang masih lagi mempunyai ibu bapa. Kami enggan mengguris hati orang tua kami, kalau perhubungan ini tak menjadi, perkara akan jadi tidak seronok. Saya rasakan perkara ini bukan untuk diceritakan, cukuplah sekadar kami menyimpannya sendiri,” ujar pelakon drama bersiri ‘Vanila Coklat’ ini.
Aiman dan Fathia bakal bergandingan dalam teater ‘Bidasari’ yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 10 hingga 17 Februari ini. Selain mereka berdua, pelakon lain yang turut serta dalam pementasan ini ialah Raja Azura, Hairul Azreen, Radhi Khalid, Fadhilah Mansor, Dato’ Jalaluddin Hassan dan ramai lagi.
Mengulas mengenai adakah hubungan yang terjalin antara mereka bakal menjadi kelebihan untuk mereka berganding dalam teater ini, Aiman menjelaskan yang kehidupan peribadi dan lakonan adalah sesuatu yang berbeza.
“Soal lakonan dan hubungan peribadi adalah suatu perkara yang berbeza. Kami pernah berkerjasama sebelum ini merusi beberapa buah drama. Jadi kami senang untuk mendapatkan keserasian dalam lakonan. Mungkin ini akan menjadi penarik untuk mereka menonton filem ini. Lagipun, ini merupakan kali pertama saya berlakon di pentas teater,” ujarnya.
“Rasa tidak sangka, jika dahulu saya hanya menonton di tempat duduk, kini saya yang beraksi di atas pentas. Teater bangsawan ini menuntut saya untuk berdialog, berdiri, melontarkan suara dan meletakkan kedudukan postur badan dengan cara yang betul. Pelakon lain banyak membantu saya dalam menghayati watak saya sebagai Tengku Indra,” ujar Aiman mengakhiri perbualan.
VIDEO kemesraan mereka sebelum ini:
VIDEO temubual siapa sebenarnya Nur Fathia: