TERUJA. Avril melahirkan rasa terujanya untuk kembali bertemu peminatnya di Malaysia pada 14 Mac ini bersempena dengan konsert jelajah Asia miliknya.
SEKITAR pukul 5.10 minit petang, telefon pintar penulis berbunyi. Petang itu penulis menerima panggilan dari seseorang yang tidak pernah penulis fikir akan menelefon saya. Dia, Avril Lavigne. Penulis ulangi, Avril Lavigne atau nama sebenarnya, Avril Ramona Lavigne, penyanyi terkenal dunia.
Panggilan tersebut dibuat atas alasan bersempena dengan kedatangan kali keduanya ke Malaysia sempena siri Konsert Siri Jelajah Asia Avril Lavigne.
Sesekali talian kami tenggelam timbul, yang ironi, pada kebanyakan masa penyanyi kelahiran Kanada itu lebih banyak berdiam berbanding memanjangkan jawapan pada setiap persoalan yang diajukan.
Namun, masa selama 10 minit perbualan dimanfaatkan sepenuhnya.
Bertanya kepada penyanyi itu tentang kehidupannya selepas berkahwin dengan vokalis Nickleback, Chad Kroeger, yang baru menjadi pasangannya kurang setahun, Avril pantas memberitahu dia bahagia hidup bersama suami baharunya itu.
Dalam nada gembira, dia yang bakal hadir ke Malaysia ditemani Chad memberitahu: "Dia (suami) kerap bersama saya mengikuti konsert jelajah saya. Kami gembira."
Saat ditanya tentang perancangan mempunyai cahaya mata, Avril mengatakan: "Ada, kami ada perancangan untuk mempunyai anak dalam masa terdekat ini."
Avril dan Chad telah berkahwin pada tahun lalu di sebuah istana lama di Selatan Perancis selepas bertunang pada Ogos 2012.
Ia merupakan perkahwinan kedua wanita itu selepas perkahwinan pertamanya dengan Deryck Whibley berakhir secara rasmi pada tahun 2010.
Penceraian mereka dilaporkan berpunca daripada sikap mantan suaminya yang gagal meninggalkan tabiat menghisap dadah.
Dalam satu temu bual bersama media antarabangsa, Avril menyimpulkan dia tidak pernah menyesali tentang kehidupan rumah tangganya yang terpaksa berakhir.
Katanya: "Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menikmati masa bersama dia. Saya juga bersyukur walaupun kami telah berpisah, tetapi hubungan kami kekal baik."
Matang
Seiring dengan peningkatan umurnya, Avril kini dilihat semakin matang sama ada dalam kehidupan mahupun karier muziknya.
Tidak seperti album terdahulunya, pemerhati muzik menyatakan terdapat perubahan drastik pada susunan lagu dan lirik ratu punk rock tersebut dalam lagu-lagu terbaharunya.
Perubahan tersebut dapat dilihat melalui perubahan album terbaharunya berjudul Avril Lavigne.
Berbanding empat album sebelum ini iaitu Let Go (2002), My World (2003), Under My Skin (2004), The Best Damn Thing ( 2007) dan Goodbye Lullaby (2011), pengisian lirik yang ditulisnya sendiri itu lebih ke arah kedewasaan.
Perubahan lagu yang lebih berentak perlahan dan pengisian yang lebih berat dan matang dapat dilihat dalam lagu baharu yang disampaikan Avril.
Pada masa yang sama, penampilan terbaharu penyanyi tersebut juga berubah daripada fesyen berseluar seperti lelaki kepada fesyen yang lebih feminin.
Avril yang dahulunya lebih selesa berpakaian selamba seperti baju-T, seluar dan but kini mula mengenakan gaun dan baju perempuan.
"Saya pernah terfikir bahawa penampilan saya tidak akan berubah. Namun ternyata kini tidak lagi," katanya merujuk kepada selera berfesyennya sekarang.
Yayasan
Selain membina nama sebagai penyanyi, Avril menggunakan pengaruhnya untuk tujuan memberi semula kepada masyarakat.
Tiada siapa pernah menyangka walaupun berjiwa rock dan tampak ganas, Avril mempunyai yayasan kebajikan yang ditubuhkan di atas namanya sendiri.
Menggunakan tema Respect, Opportunity, Choices, Knowledge, and Strength (R.O.C.K.S) yayasan tersebut bertujuan untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik dan golongan kelainan upaya (OKU).
Mula ditubuhkan pada tahun 2010, yayasan tersebut aktif membantu golongan tersebut dalam bentuk dana dan kempen yang berkaitan kesedaran sivik.
Dalam satu kem musim panas yang dianjurkan yayasannya Avril berkata, dia sangat suka meluangkan masa bersama kanak-kanak dan lakukan sesuatu yang memberi makna dalam kehidupan mereka.
"Saya ingin memberi peluang kepada mereka untuk merasai keseronokan kem musim panas. Melalui program ini saya dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan menikmati kebahagian itu," ujarnya.
Yayasan tersebut kini telah berkembang ke seluruh pelosok Amerika Syarikat termasuk bandar besar seperti Los Angeles, California, Houston, Texas, Hawaii, Las Vegas, Miami, Florida dan Kanada.
Avril juga banyak terlibat dalam badan amal di seluruh dunia termasuk kempen kanak-kanak di Burma, Vietnam.