ERMA FATIMA (kiri) selaku pengarah menyusun 26 buah lagu hit tiga bintang popular ini termasuk sedutan lakonan daripada lima filem terkenal mereka seperti Sembilu.
KONSERT Teaterikal Suara Kita yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 3 hingga 9 Mac ini menerusi gandingan hebat artis popular Awie, Erra dan Ziana Zain bakal menyajikan kelainan buat penonton.
Istimewanya, penonton bukan sahaja akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian ketiga-tiga artis berkenaan, malah terdapat lakonan semula yang ditampilkan menerusi babak lima buah filem yang pernah mencatatkan kutipan pecah panggung seperti Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Merah dan Maria Mariana.
Berkesempatan bertemu dengan Erma Fatima selaku pengarah sewaktu sesi latihan pada minggu lalu, dia menjelaskan, semua persiapan berjalan lancar dan sebanyak 26 buah lagu akan dipersembahkan sepanjang konsert berlangsung.
“Semua lagu yang dipersembahkan nanti merupakan lagu-lagu popular yang menjadi runut bunyi untuk kelima-lima filem berkenaan, kecuali sebuah lagu baharu yang berjudul Cinta Makrifat.
“Lagu ini akan dipersembahkan secara duet oleh Awie dan Erra dan ia sesuatu yang cukup menarik memandangkan mereka tidak pernah berduet sebelum ini,” jelasnya tentang persiapan untuk konsert berkenaan.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai Cinta Makrifat, Erma memberitahu, lagu berkenaan merupakan ciptaannya sendiri yang sudah dihasilkan sekitar lima tahun yang lalu.
Ujarnya, ketika memberikan lagu berkenaan kepada Awie, pelakon dan penyanyi popular itu tidak mengetahui langsung bahawa dia merupakan pencipta lagu berkenaan sehingga sesi rakaman dibuat.
“Memandangkan ini merupakan sebuah gabungan yang bakal mengimbas semula kenangan tentang filem-filem hebat lakonan mereka, saya merasakan perlu ada satu elemen lain sebagai daya tarikan.
“Kemudian saya mengambil keputusan menggandingkan Awie dan Erra untuk berduet menerusi lagu Cinta Makrifat ini kerana ia merupakan julung-julung kalinya mereka berduet bersama,” jelasnya.
Sementara itu, Awie yang ditemui semasa sesi latihan berkenaan mengakui, lagu berkenaan sedap didengar dan dia seperti tidak percaya apabila diberitahu ia merupakan lagu ciptaan Erma sendiri.
Menurutnya, pendekatan yang dilakukan oleh pengarah tersebut untuk menggandingkan dia dan Erra menerusi lagu itu dalam salah satu segmen persembahan nanti pastinya memberikan keunikan yang tersendiri.
“Sebelum ini saya dan Erra tidak pernah berduet dalam mana-mana lagu dan pastinya ini merupakan satu pembaharuan yang akan dapat disaksikan oleh peminat yang datang nanti.
“Harapan saya juga pastinya sangat tinggi agar ramai yang datang menyaksikan konsert ini kerana saya percaya ia mampu mengimbas semula zaman kegemilangan filem-filem lakonan kami dahulu,” ujarnya selaku penerbit konsert berkenaan di bawah syarikatnya iaitu Awie Entertainment Sdn. Bhd.
Selain itu, Awie memberitahu, dia turut mengundang seorang gitaris wanita yang dikenali sebagai Mira Fana untuk mengiringi persembahannya ketika menyanyikan lagu berjudul Bujang Senang.
“Saya mengenali Mira menerusi aksinya bermain gitar yang dipaparkan di laman YouTube setelah diberitahu oleh seorang rakan. Melihat aksinya itu saya sangat kagum dan terus membuat keputusan untuk mengundangnya sebagai pemuzik undangan.
“Tujuan saya berbuat demikian kerana mahu menonjolkan bakat yang dimilikinya dan ia merupakan salah satu bukti yang dunia muzik tempatan juga tidak ketandusan dengan pemain gitar wanita yang hebat,” jelasnya.
Jadual padat
Bagi Erra, pembabitannya dalam Konsert Teaterikal Suara Kita ini ternyata memberi cabaran tersendiri buat dirinya, lantaran masa yang terlalu singkat untuk membuat persiapan.
Mengakui jadual kerja yang sangat padat sejak kebelakangan ini membuatkan dia berasa sedikit tertekan, namun bantuan yang diberikan Erma serta sokongan daripada Awie dan Ziana banyak membantunya.
“Walaupun sudah beberapa kali berlakon teater, konsert ini suatu yang sangat berlainan kerana perlu menyanyi dan melakonkan semula babak-babak filem lakonan saya dahulu.
“Lagipun bukan mudah untuk mengingat semula babak-babak berkenaan, malah dialog yang dituturkan juga tidak ada perubahan. Secara ikhlasnya, saya berasa tidak puas dengan persediaan yang dibuat, tetapi akan terus cuba memberikan yang terbaik,” jelasnya.
Penyanyi Ziana Zain yang ditemui pula berkata, antara faktor paling utama dia menerima tawaran terbabit dalam konsert berkenaan kerana perasaan rindu untuk bergandingan semula dengan rakan-rakan lama.
Menurutnya, tawaran yang diterima itu datang tepat pada masanya dan peluang yang ada untuk bergandingan dengan Awie dan Erra seperti yang pernah dilalui suatu masa dahulu tidak datang selalu lantaran kesibukan masing-masing.
“Memandangkan kebanyakan lagu-lagu nyanyian saya bernada tinggi, sudah tentu persiapan dari segi stamina perlu diutamakan. Cuma, yang agak memberikan cabaran apabila perlu mengingat kembali babak-babak lakonan dahulu.
“Kepada mereka yang pernah membesar dengan filem-filem yang pernah dilakonkan kami dahulu, inilah masa terbaik untuk mengimbas semula nostalgia dan jangan lepaskan peluang yang ada ini,” ujarnya.
Tiket untuk menyaksikan konsert tersebut yang berharga RM79, RM149, RM199, RM249, RM299, RM349, RM399 dan RM499 boleh didapati di kaunter tiket Istana Budaya atau melayari laman web www.ticket2u.biz.
Potongan sebanyak 15 peratus turut dikenakan khusus kepada warga emas, pelajar, warga OKU dan pembelian berkumpulan (minimum 15 orang).
Selain itu, acara post party bersama Awie, Erra dan Ziana akan dibuka kepada semua pemilik tiket persembahan dengan bayaran tambahan sebanyak RM150 selepas konsert yang berlangsung sebelah malam pada 9 Mac ini.
ARTISMELETOP: Tak sabar nak dengar lagu baru Cinta Makrifat.