Cuak: Lima pengarah, satu cerita

Bukan selalu kita dapat menonton karya tempatan yang digarap ramai pengarah yang masing-masing memiliki sentuhan tersendiri.

Andai ada, filem Kolumpo yang digarap tiga pengarah dan masing-masing dengan tiga cerita berbeza, tetapi kelebihan Cuak ialah lima pengarah dengan satu cerita dan topik sama.
Menariknya mengenai Cuak, selalunya orang bercerita mengenai debaran, kegembiraan dan persiapan perkahwinan, tetapi Cuak mengangkat satu sisi perasaan yang jarang diperkatakan dalam jiwa pasangan yang bakal bernikah, yakni takut, gusar dan pilihan.

Cara filem ini digarap sangat menarik kerana ia tidak terus bercerita, sebaliknya berjaya memetik beberapa elemen menarik, ada turun naik sendiri.


SALAH satu babak dalam filem Cuak.


Ada elemen sensitif mengenai perbezaan agama, budaya dan latar belakang. Perdebatan antara dua keluarga berbeza latar belakang dan akhirnya berbalik semula kepada masa depan anak mereka.




Walaupun tidak menampilkan pelakon popular mahupun dikenali ramai, Cuak berjaya memberi perkara paling penting dalam sebuah filem, yakni jalan cerita menarik.

Ghafir Akbar sebagai Adam berjaya bermain dengan emosi ‘cuak’ itu sendiri, terutama pada babak menarik seperti di dalam bilik air, Adam bermonolog depan cermin saat-saat awal sebelum acara akad nikah.

Rasa kasihan, lucu dan prihatin pasti bermain dalam fikiran penonton kerana hanya mereka yang pernah melaluinya tahu apa dirasai sebelum akad nikah.

Selalunya dalam bahasa filem, refleksi cermin membawa maksud malapetaka, masalah psikologi dan segala macam perkara negatif mengenai filem dan watak.

Namun, pengarah berjaya membawa keburukan maksud refleksi itu kepada mempersoalkan masalah dalaman yang wujud dalam diri Adam.

Pun begitu, filem ini tetap ada kelemahan sendiri. Paling ketara, selain panjang, ia juga meleret. Banyak momen tidak perlu dimasukkan dan menyebabkan perjalanan cerita membosankan. Antaranya, babak Mikael (Tony Eusoff) yang kelihatan menarik hampir keseluruhan momentum yang sedia ada.

Secara keseluruhan, Cuak adalah filem yang mempunyai subteks sendiri dan bijak ditonton.

Selain menampilkan nuasa berbeza dari segi penceritaan, tanya diri sendiri, berapa banyak filem yang berani bersoal jawab secara provokasi mengenai isu tertentu yang kurang diangkat dalam majoriti filem tempatan? Hanya Cuak yang berani!


INFO

Filem: Cuak
Arahan: Khairil M Bahar, Lim Benji, Manesh Nesaratnam, Shamaine Othman dan Tony Pietra
Pelakon: Hafir Akbar, Dawn Cheong dan Bernie Chan
Genre: Komedi romantik
Tayangan: 14 Februari 2014
Ulasan: Amirul Haswendy Ashari
Previous Post Next Post