Dazrin hormati teguran Fasha



JARANG sekali kita mendengar mana-mana artis mengadu tentang artis lain terutama yang melibatkan soal disiplin. Namun, pelakon Fasha Sandha baru-baru ini secara terang dan berani telah menyuarakan pendapat dengan mengkritik sikap seorang pelakon lelaki Dazrin Kamaruddin yang diakuinya mempunyai masalah disiplin setelah timbulnya isu tidak berdisplin Dazrin tersiar di media.

Masalah disiplin yang dimaksudkan itu ialah tindakan Dazrin yang sering datang lewat ke lokasi penggambaran drama bersiri Miranda sehingga pengarah drama bersiri berkenaan, Along Kamaludin turut mempertahankan tindakan Fasha yang menegur sikap Dazrin.

Walaupun isu itu kecoh, namun Dazrin lebih selesa untuk tidak memberi sebarang kenyataan dan hanya memberitahu satu sidang akhbar bakal diadakan bagi memberi penjelasan berhubung isu tersebut.




Usaha mendapatkan Dazrin akhirnya berjaya selepas menonton pertandingan akhir Planet Joget yang diacarakan olehnya. Ikuti kisah di sebalik sidang akhbar yang diperkatakan berserta dengan isi hatinya tentang teguran Fasha.

HITS: Bila hendak buat sidang akhbar?

DAZRIN: Sekarang saya sibuk dengan banyak perkara. Sebab itu, saya masih menunggu tarikh yang sesuai untuk mengadakan sidang media tersebut. Memandangkan ia melibatkan ramai pihak, jadi saya serahkan kepada pihak produksi untuk menetapkan tarikh bagi sidang media tersebut.

Kenapa perlu mengadakan sidang akhbar?

Sidang akhbar tersebut diadakan bagi saya membuat permohonan maaf atas apa yang sudah saya lakukan selama ini. Saya hendak meminta maaf kerana telah membuatkan ramai pihak terasa dan tersinggung.

Berkenaan teguran Fasha, bagaimana pula awak melihatnya?

Pada saya jika tidak ada orang yang menegur saya seperti Fasha, saya mungkin tidak akan sedar dengan kesalahan yang saya lakukan. Jadi, pada saya apabila kesalahan itu sudah ditegur dan kita mengambil inisiatif untuk berubah, Alhamdullilah semuanya akan okey. Fasha menyuarakan pendapat disebabkan perkara itu berkaitan kerja. Begitu juga dengan saya, kalau tidak puas hati, saya juga akan menegur orang yang membuat kesalahan.

Macam mana hubungan awak dengan Fasha?

Hubungan saya dengan Fasha okey dan saya hormati dia sebagai pelakon yang lebih lama. Saya juga berterima kasih kepada semua yang mengambil inisiatif untuk menegur saya dan saya percaya teguran itu sebagai tanda mereka sayangkan kita. Insya-Allah, saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk mengubah keadaan.

Sekarang ini, pengarah Along Kamaludin turut menyokong tindakan Fasha. Adakah awak rasa mereka akan bekerjasama dengan awak dalam sidang akhbar tersebut?

Perkara itu melibatkan mereka juga. Jadi, mereka bersedia membantu dan bekerjasama dengan saya. Lagipun, saya tiada masalah dengan Along dan bersyukur kerana dapat mengenalinya. Sebagai pelakon baharu, saya terima nasihat itu dan akan cuba bangunkan diri. Apa-apa pun, saya berterima kasih kepada Along kerana telah memberi peluang kedua dalam drama seterusnya kepada saya untuk terus berlakon dengannya setelah melihat perubahan pada saya.

Mungkin awak boleh terangkan apa yang menyebabkan awak boleh datang lewat dua jam ke lokasi penggambaran sehingga menyusahkan orang lain?

Pertama sekali, saya masih manusia biasa yang tetap ada masalah. Ada pelbagai sebab kenapa saya datang lewat. Dari masalah peribadi, bangun lewat sehinggalah pelbagai lagi isu yang boleh mendorong kelewatan saya. Namun, saya tak boleh gunakan masalah yang dihadapi sebagai alasan untuk saya datang lambat. Walaupun kontroversi ini menjejaskan karier saya, namun saya terima saja apa yang berlaku kerana saya sedar saya berada di pihak yang salah.

Apa yang awak ingin katakan kepada pihak yang mungkin sudah awak susahkan?

Sekali lagi, saya ingin meminta maaf kepada semua yang terlibat atas perbuatan saya. Saya tahu isu yang saya timbulkan ini telah mengganggu masa orang lain. Saya juga akui saya salah serta melakukan kesilapan. Daripada apa yang berlaku, saya akan cuba hormati antara satu sama lain. Masa itu penting dan teguran yang diberikan telah memberi pengalaman kepada saya sebelum semuanya terlambat.
Previous Post Next Post