Isteri Rayu Herman Tino Tidak Malukan Diri Tanding DUN Kajang



PETALING JAYA: Isteri kepada penyanyi Herman Tino iaitu Noraini Ibnu berharap agar suaminya tidak meneruskan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac depan.

Noraini yang juga Ketua Unit Penerbitan Radio, RTM berkata, dia tidak bersetuju dengan hasrat Herman memandangkan suaminya itu tidak mempunyai wang untuk bertanding sebaliknya akan dihina dan diketawakan oleh masyarakat.

"Saya terima Herman sebagai suami kerana dia seorang penyanyi, bukannya ahli politik. Dia bukannya ada wang yang banyak untuk 'melayan' perkara-perkara politik macam itu.




"Saya tidak suka dia 'membakar diri' dan menerangi yang lain, sedangkan tuanya nanti tidak ada siapa yang peduli.

"Sebagai isteri, saya tidak senang apabila tindak tanduknya diketawakan dan dihina pula," katanya menerusi kiriman mesej melalui aplikasi 'WhatsApp' kepada mStar Online di sini pada Selasa.


Noraini Ibnu (kanan) bersama Herman Tino. Gambar dari Facebook milik Noraini.

Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 60, menyatakan minat untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kajang selepas memperkenalkan hashtag #Herman4Kajang di Twitter miliknya untuk melihat reaksi orang ramai mengenai hasratnya itu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Yale Yale dan Pelita Dalam Kabus itu adalah antara lima calon yang setakat ini telah menyatakan minat untuk bertanding di kerusi DUN berkenaan.

Herman sebelum ini pernah mencuba nasibnya bertanding atas tiket Bebas menerusi kerusi Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) dan tewas di tangan calon Barisan Nasional iaitu Datuk Seri Noh Omar.

Penyanyi itu memperoleh deposit RM10,000 untuk bertanding kerusi tersebut selepas dua rakannya menggadai dua buah kereta.

Sementara itu, Noraini menambah, dia lebih senang jika Herman kekal dengan kerjayanya sebagai seorang penyanyi dan tidak kisah sekiranya pendapatan yang diperoleh sekadar cukup makan sahaja.

"Saya tidak suka tertekan dengan situasi sebegini dan berharap tidak perlu untuk berselisih faham dengan perkara yang saya tidak suka.

"Tolonglah Encik Herman, jangan susahkan orang Kajang dan kawan-kawan," tuturnya.
Previous Post Next Post