Erra Fazira Orang Tidak Tahu Apa Yang Saya Rasa



Tanyalah kepada mana-mana wanita, pasti tiada siapa mahukan rumahtangga yang dibina atas dasar cinta berakhir dengan perceraian.

Begitu juga dengan aktres jelita, Erra Fazira yang mengharapkan perkahwinannya dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin kekal bahagia sehingga ke akhir hayat apatah lagi ini merupakan perkahwinan keduanya.

Namun apakan daya, ikatan suci yang dibina pada tanggal 25 Oktober 2007 kecundang di tengah jalan apabila pasangan ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Selasa.

Walaupun dikatakan tenang ketika Engku Emran melafazkan cerai, namun jauh di sudut hati, tiada siapa tahu apa yang dirasai oleh ibu kepada Engku Aleesya ini.

“Gelora, berkecamuk, tenang atau tidak tenang, itu dalaman kita. Orang tak boleh adili apa yang saya rasa kerana saya lalui perkara ini dengan cara saya sendiri. Jangan anggap saya kuat kerana orang tak tahu apa yang tersimpan di dalam hati saya. Apa yang boleh saya katakan, berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikulnya,” tutur Erra ketika ditemui usai rakaman ‘Primadona’, pada Selasa.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan proses perceraian pada sebelah tengah hari, namun pelakon ‘Sembilu’ ini tetap gigih ke set rakaman program ‘Primadona’ pada sebelah petangnya. Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik ini juga kelihatan tabah, tidak seperti segelintir wanita lain yang sedih apabila terpaksa berhadapan dengan perceraian.




“Orang nampak saya kuat tapi orang tak tahu apa yang saya tanggung. Kita tak tahu apabila air mata itu akan keluar dan tidak dinafikan, ada masa saya rasa jatuh dan rebah. Walau bagaimanapun, kekuatan ini datang kerana rasa tanggungjawab saya terhadap keluarga. Jika saya rebah dan menangis depan keluarga, anak dan rakan-rakan, macam mana saya nak tolong diri saya dan juga keluarga,” kata Erra lagi.

“Saya kini mahu fokus dengan kerja kerana jika saya tak ada sebarang kerja dan hanya duduk di rumah saja, sudah tentu saya akan melayan perasaan. Saya mahu pandang ke hadapan dan tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perkara ini.

Buat masa ini, saya akan sibuk dengan program Primadona dan juga Konsert Teaterikal Suara Kita. Alhamdulillah, jadual seni saya padat dan saya akan sibuk sehingga Jun ini. Saya percaya, ini semua sudah diaturkan oleh Tuhan dan saya doakan semoga saya diberikan kekuatan untuk melalui kehidupan mendatang,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post