Norish Karman Dipinang Jejaka Muda



Heroin filem ‘Sayang Salmah’, Norish Karman mendedahkan dirinya dipinang oleh seorang jejaka yang lebih muda dari usianya. Bagaimanapun, Norish menolak pinangan tersebut atas sebab-sebab yang tertentu.

“Saya akui, ramai yang cuba mendampingi saya. Anak-anak pun ada bertanya. Sejujurnya, saya masih belum bersedia. Ada juga orang datang meminang saya, usianya lebih muda dari saya. Tetapi saya menolak hasratnya. Saya mahu fokus kepada kerjaya lakonan, nyanyian dan bisnes katering yang saya usahakan,” tutur wanita ini ketika ditemui di Majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Selasa.




Jelas Norish, dia boleh berkahwin dengan sesiapa sahaja, asalkan orang tersebut mempunyai rasa kasih sayang terhadap dirinya, keluarga dan anak-anaknya. Apa yang penting baginya ialah bakal suaminya nanti boleh menerima anak-anak Norish.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perjalanan kariernya, Norish menjelaskan yang dia mahu bersikap selektif dalam pemilihan watak selepas ini. Dia enggan membawakan watak serupa setiap kali muncul dalam layar kaca.

“Saya mahu memilih skrip dan watak yang sesuai dengan usia saya. Saya tidak mahu orang lain memandang stereotaip kepada saya jika saya asyik menjayakan watak yang sama sahaja setiap kali muncul dalam drama atau pun telefilem. Saya tak mahu watak yang ada karakter lebih kurang sahaja, jadinya saya tidak perlu melakukan kajian. Kalau boleh, untuk setiap tawaran yang saya terima, saya mahu lakukan sedikit ‘homework’ mengenai watak tersebut,” ujar pelakon drama bersiri ‘Love You Mr. Arrogant’ ini.

Dalam perkembangan lain, Norish kini juga aktif menerima undangan nyanyian untuk acara majlis makan malam dan sebagainya. Walaupun lagunya masih belum diputarkan di corong-corong radio, permintaan untuknya melakukan persembahan adalah banyak. Selepas ini, Norish bakal mempromosikan lagunya ke stesen-stesen radio tempatan pula. Selain itu, Norish juga sedang sibuk mengusahakan perniangaan kateringnya.
Previous Post Next Post