MANIS detik bahagia Fara dan Abdul Shukor berlangsung meriah.
Selepas lapan tahun bercinta, penyanyi Farawahida Razali, 29, dan Abdul Shukor Mohd Zain, 29, selamat dinikahkan pada 16 Disember tahun lalu. Dalam tempoh itu, tentu banyak cabaran dan dugaan dilalui, terutama gosip dan kontroversi membabitkan diri Fara sedikit masa lalu hingga mencalar maruah diri dan keluarga.
Namun keteguhan cinta Shukor membuatkan mereka berjaya melalui semua itu dan kini bahagia melayari bahtera rumah tangga.
Penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu itu juga sebelum ini enggan mendedahkan identiti kekasih hatinya dan hanya diperkenalkan sebagai Mr A.
Alasan Fara, orangnya pemalu dan sedar dirinya bukan artis, biar Fara saja jadi perhatian umum.
Bagaimanapun, pada hari bersejarahnya, Fara sedia berkongsi wajah lelaki yang bertakhta di hatinya sekian lama.
Mereka dinikahkan dan disandingkan pada hari sama di Taiping, Perak.
Pada 5 Februari lalu, kedua-duanya sekali lagi bersanding di Shah Alam, Selangor, sekali gus majlis resepsi pihak lelaki khusus bagi mereka yang tidak dapat sama-sama meraikan hari bahagia mereka sebelum ini.
Berkesempatan hadir di majlis yang diadakan di Dewan N'dah Shah Alam, dapat dilihat sinar kebahagiaan pada wajah Fara dan suami.
Pasangan pengantin berseri-seri dengan dua persalinan dan Shukor juga tersenyum mesra di sisi isterinya dan sedia memberi kerjasama kepada jurukamera yang menanti kehadiran mereka.
Ternyata suami Fara tidak sepemalu sebagaimana dikatakan, malah ramah melayan apabila ada yang mahu bergambar.
Mungkin ada sebab mengapa Fara sorok suaminya hinggalah lelaki itu benar-benar menjadi miliknya.
Ada juga berbisik memuji suami Fara.
Orangnya kecil dan manis dengan senyuman.
Ibu Shukor, Soboriah Abdul Razak juga ramah menanti kehadiran tetamu, termasuk wakil media yang hadir dan wartawan ditempatkan di meja tetamu khas di barisan depan.
Terasa kehadiran dialu-alukan dan dihargai.
Bukan semua kalangan keluarga bukan artis rela menyambut kehadiran media.
Malah, ada yang menganggap kehadiran media pada hari bersejarah itu seperti mengganggu perjalanan majlis.
Mana hendak layan kehendak jurugambar yang ingin merakam gaya menarik pengantin, mana hendak melayan wartawan yang hendak menemubual pengantin selepas majlis berakhir.
Waktu sama, pengantin juga perlu melayan sanak saudara.
Ada pula yang buat majlis pernikahan secara rahsia dan tidak mengundang media tetapi apabila berita perkahwinan mereka dapat dihidu media, tetap datang juga buat liputan.
Terpaksalah tebalkan muka hadir di majlis yang tidak diundang kerana ingin mendapatkan sedikit berita dan gambar untuk dikongsi bersama pembaca.
Sudah tentu ia satu pengalaman pahit apabila kehadiran tidak diingini, malah ada yang tidak dibenarkan masuk.
Hakikatnya selama menjadi artis, media diperlukan untuk uar-uarkan kerjaya mereka sama ada sebagai pelakon, penyanyi, pengacara atau penyampai radio.
Namun apabila hari bahagia, mereka tidak mahu pula dikongsi bersama media atas dasar ia hal peribadi dan tidak perlu dikongsi kepada umum.
Apabila perkara begini berlaku, ia bukan hanya mengundang suasana tidak harmoni, malah pelbagai spekulasi yang timbul.
Mengapa kahwin sembunyi, tentu ada sesuatu yang dirahsiakan.
Isteri keduakah atau ada masalah waris atau pelbagai spekulasi lainnya.
Wartawan hanya menjalankan tugas dan bukan menyibuk di majlis orang.
Namun kalau diundang secara baik, tentu tiada masalah dan tulisan juga yang baik-baik saja.
Ada juga suami artis yang tidak dapat menerima hakikat tugas wartawan yang ingin mendapatkan berita terbaru apabila berjumpa isterinya.
Kehadiran wartawan dianggap seperti mengganggu dirinya bersama isteri hingga isteri (artis) serba salah terpaksa ketepikan rakan wartawan kerana suami dicintai.
Apa pun, selamat menjalani kehidupan sebagai isteri buat Fara dan tidak lama lagi menjadi ibu.
Kehidupan Fara selepas bergelar isteri juga sama seperti isteri lainnya yang baru melangkah gerbang perkahwinan, menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baru.
Kalau dulu ditemani keluarga, kini berdua memulakan hidup baru.
Kata Fara, rutin hariannya sama seperti isteri lainnya, iaitu bangun pagi sediakan sarapan untuk suami serta memasak.
Fara juga berkongsi hari-hari dilaluinya bersama suami seperti menghadiri majlis kahwin sanak saudara dan memasak juadah untuk suami dan menanti kepulangan suami untuk makan bersama dalam laman sosial Facebook (Fb).