Nazim Othman menggigil di Pulau Nami



MERASAI suasana salji ketika berkunjung ke Seoul memberi kenangan manis buat Nazim.
BERADA selama 20 hari di Korea Selatan pada Januari lalu merupakan pengalaman manis dan berharga buat pelakon Nazim Othman.

Dia tidak berseorangan di sana sebaliknya turut ditemani beberapa pelakon lain termasuk Tasha Shila dan Syatila Melvin menjayakan penggambaran Gerimis Salji Namira untuk siaran RTM.

Menyifatkan pemergian ke negara tersebut sebagai satu perkara menyeronokkan Nazim tidak menolak kedatangannya itu sebagai serampang dua mata.

"Seperti yang peminat sedia maklum saya memang meminati penyanyi Korea Selatan sejak dulu lagi. Selain bekerja saya menggunakan masa yang ada untuk meneroka tempat-tempat menarik di sana.

"Kedatangan kali ini paling indah kerana negara tersebut sedang mengalami musim sejuk dan bersalji. Itu memang pengalaman manis buat kami walaupun ‘terseksa’ akibat kesejukan," katanya.




Ini bukan kali pertama Nazim menjejakkan kaki ke sana memandangkan sebelum ini dia banyak kali ke negara tersebut semasa bertugas sebagai pramugara Malaysian Airlines (MAS).

Meskipun cuaca sejuk di bawah paras -0° itu bukan halangan besar buat Nazim untuk menjayakan penggambaran.

Baginya kerjasama antara kru dan pelakon lain memudahkan proses penggambaran yang menggunakan Pulau Nami sebagai latar belakang drama bersiri 26 episod itu.

"Jika tak biasa dengan bandar Seoul memang sukar. Paling asas adalah masalah bahasa memandangkan kebanyakan penduduk Korea tidak fasih berbahasa Inggeris.

"Mujur pihak produksi menyediakan juru bahasa untuk memudahkan proses. Semuanya berjalan lancar termasuk ketika membeli-belah.

"Soal makan pun tak jadi hal sebab kami menyewa apartment. Jadi memang ada tukang masak yang dibawakan khas selama kami berada di sana.

"Sebut sahaja nak makan apa semuanya disediakan. Nak cari makanan halal di sana pun bukan mudah. Ada kawasan tertentu sahaja yang menyediakan makanan halal.

"Dulu saya datang ke Seoul tak lama. Sekarang memang puas kerana kami mempunyai masa untuk meneroka persekitaran ibu negara Korea meskipundengann cuaca yang sejuk," ceritanya.

Mengakui banyak berbelanja membeli kasut di sana, Nazim menganggap bandar Seoul merupakan tempat ideal untuk mendapatkan barang berkualiti tinggi dengan harga berpatutan.

Ketika berada di sana, dia sempat bertemu dengan Lincoln yang juga merupakan selebriti kanak-kanak terkenal dengan kepetahan berbicara dan menghiburkan peminat di seluruh dunia.
Previous Post Next Post