Christy Jusung: Bercerai bukan kerana curang!



LEBIH baik bercerai daripada berterusan memendam perasaan. Itu tegas pelakon Christy Jusung berhubung perkahwinannya dengan Jay Alatas yang sudah pun menemui titik penamat.

Bahkan wanita berusia 32 tahun ini mengakui kemanisan perkahwinan yang berlandaskan suka sama suka itu hanya bertahan pada peringkat awal sahaja.

Biarpun acap kali cuba untuk menyelamatkan rumah tangganya yang dibina tidak sampai setahun itu namun tetap tidak berhasil.

Semuanya kerana jurang persefahaman dan komunikasi di antara dirinya dengan Jay semakin menipis saban tahun sebelum mereka bersepakat untuk berpisah.

"Memang sudah tak ada jodoh," kata pelakon yang dikenali menerusi drama Lorong Waktu pada awal tahun 2000 lalu.

Kes perceraian Christy difailkan di Jabatan Pengadilan Agama Jakarta Selatan, Indonesia pada 7 Januari lalu.

Pasangan itu bernikah pada 28 April 2013 selepas berkenalan hampir lima bulan.




Sebelum ini Christy pernah berkahwin dengan aktor Hengky Kurniawan pada 10 Oktober 2008. Pun begitu perkahwinan tersebut hanya mampu bertahan selama tiga tahun sahaja.

Mengulas dakwaan yang mengatakan jodohnya tidak panjang disebabkan sikap Jay yang gemar berfoya-foya, wanita itu menafikan.

Kata Christy, tiada sebab dia hendak membuka aib Jay kerana lelaki itu pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya sebelum ini.

"Suami saya tidak curang. Dia orang yang baik. Mungkin cara kehidupannya kelihatan bebas tapi dia tak pernah mengabaikan saya," katanya.

Bagaimanapun Christy tidak mahu mengulas apabila ada pihak mendakwa perceraiannya dengan Jay disebabkan oleh anak hasil perkahwinan terdahulu lelaki tersebut.

Sebelum mereka berkahwin, Jay berstatus duda dan memiliki tiga orang anak daripada isteri pertamanya.
Previous Post Next Post