Kerajaan Negeri Kedah digesa menarik balik permit penganjuran 'Konsert Festival Muzik Planet Eupe' di Taman Air Carnival Eupe, Sungai Petani pada 1 Mac ini anjuran sebuah syarikat pemaju hartanah.
Ramai pihak beranggapan sumber hiburan yang ada di negeri ini sudah lebih dari mencukupi untuk memenuhi kehendak masyarakat pelbagai bangsa.
"Sepatutnya penganjur tidak buat festival muzik secara besar-besaran seperti itu di negeri ini kerana perlu menghormati sensitiviti agama, masyarakat dan budaya kita. Namun masih belum terlambat jika permit yang dikeluarkan ditarik semula," ujar Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor.
Pesta Muzik Planet Eupe bakal menampilkan barisan artis popular seperti Yuna, Najwa Latif, Wang Lee Hom, selain penyanyi elektro-pop dari Taiwan Jeannie Hsieh dan kumpulan K-Pop terkenal, U-Kiss.
Dalam perkembangan sama, lebih 5,000 tanda tangan penduduk di kawasan berhampiran lokasi festival dikumpul bertujuan menyatakan bantahan terhadap penganjurannya yang dianggap menyentuh sensitiviti Islam serta gangguan terhadap ketenteraman dan kesejahteraan awam.