Raja Azura Berjaya Hidupkan Teater Bidasari



Raja Azura yang memegang watak sebagai Permaisuri Laila Sari meninggalkan kesan hebat kepada teater Bidasari. Foto ROHAIZAT DARUS.
KUALA LUMPUR: Penantian selama 15 tahun untuk menyaksikan pelakon Raja Azura kembali ke pentas teater berbaloi apabila wanita itu membuat kemunculan menerusi teater Bidasari yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 10 hingga 17 Februari depan.

Permulaan teater berkenaan yang agak perlahan dan sedikit membosankan terus lenyap apabila Raja Azura yang lebih mesra dengan sapaan Kak Engku muncul sebagai Permaisuri Laila Sari yang jahat.

Tidak keseorangan di pentas, Raja Azura turut ditemani oleh pelakon pembantu sebagai inang dan dayang istana menghangatkan lagi babak berkenaan.




Aura pelakon popular 90-an itu cukup hebat dan taringnya sebagai pelakon belum pudar walaupun sudah 15 tahun tidak muncul dengan sebarang projek terbaharu.

Raja Azura ketika ditemui selepas pementasan itu berkata, dia mengakui merindui lakonan teater dan Bidasari adalah platform untuknya melepaskan 'gian'


Terknik silat yang cuba ditonjolkan oleh Aiman menerusi watak Tengku Indra menjadi dan meyakinkan.
"Alhamdulillah jika penonton menyukai lakonan saya dan sejujurnya kami tidak cukup latihan tetapi kalau sesuatu watak itu dijiwai dengan betul ia akan datang sendiri.

"Sebagai pelakon kita kena jujur manakala teknik dan pengalaman juga banyak membantu saya dalam pementasan ini," katanya.

Teater Bidasari merupakan kisah yang diadaptasi daripada cerita Melayu klasik dari judul sama lakonan Tan Sri Jins Shamsuddin dan Datuk Sarimah Ahmad.

Kisah bermula apabila Bidasari (Fathia) yang cantik jelita dan kaya budi bahasa adalah anak angkat kepada saudagar Amir Abdullah.


Hairul Azreen dan Fathia dalam satu babak.
Bidasari dijumpai sewaktu kecil di dalam sebuah sampan dengan kembarnya seekor ikan.

Sementara itu di negeri Zamin Ambar yang diperintah oleh Sultan dan isteri barunya Permaisuri Laila Sari (Raja Azura) dan kecantikan Bidasari telah sampai ke pengetahuan Permaisuri menyebabkan dia cemburu dan marah kerana tidak suka ada wanita lain lebih cantik daripadanya.

Permaisuri kemudian memanggil Bidasari untuk bersemayam di istana dan menggunakan pelbagai cara untuk menyeksa Bidasari supaya tidak lagi cantik.

Pelbagai cara dilakukan oleh Permaisuri untuk menghapuskan Bidasari selain konflik yang timbul di antara dua Putera Raja iaitu Tengku Iskandar (Hairul Azreen) dan Tengku Indra (Aiman).


Watak tambahan yang bertindak sebagai dayang istana cukup mencuit hati.
Selain itu, teater tersebut turut dilakonkan oleh Datuk Jalaluddin Hassan, Radhi Khalid, Fadilah Mansor dan lebih 60 pelakon tambahan.

Ia diarahkan oleh Lokman Ghani manakala Irwan Ismadi Shahrin sebagai pengarah artistik.

Sementara itu, teknik lakonan teater yang ditampilkan oleh dua pelakon utamanya iaitu Aiman dan Fathia kurang berkesan dan menonjol pada persembahan malam pertama itu.

Mereka kelihatan sedikit kekok barangkali kerana gementar pertama kali membuat persembahan besar seperti teater Bidasari di Panggung Sari.


Salah satu babak mencemaskan dalam pementasan teater itu.
Aiman yang memegang watak sebagai Tengku Indra dilihat masih terikat dengan teknik 'method acting' dan pada beberapa babak lontaran vokalnya tidak cukup lantang bagi peranan sebagai anak raja.

Malah perkara itu turut diakui sendiri oleh Aiman yang kecewa dengan lakonannya yang longgar dan perlu bekerja keras untuk pementasan seterusnya.

"Saya kecewa dengan diri sendiri kerana tidak memberikan yang terbaik pada persembahan malam pertama. Ada beberapa kelemahan yang perlu saya perbaiki bagi memantapkan lagi lakonan di pentas," katanya.

Manakala lakonan Fathia pula, lenggok bahasa badan dan pergerakannya di atas pentas juga masih terbatas dan seharusnya dia lebih menonjolkan wataknya tanpa terlalu membebankan fikiran.


Masih banyak ruang yang boleh diperbaiki sekiranya Aiman mahu lebih menyerlah dalam bidang teater.
Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada Aiman dan Fathia kerana berani mencuba dalam teater bangsawan walaupun menjalani tempoh latihan singkat iaitu hanya 10 hari.

Semangat mereka di atas pentas dapat dirasai dan sekiranya mereka diberi lebih banyak peluang berlakon dalam teater tidak hairan jika mereka antara yang terbaik dalam bidang tersebut.

Secara keseluruhannya, teater Bidasari menghiburkan dengan perkembangan plot disusun kemas dan cantik oleh pengarahnya walaupun adakalanya pergerakan cerita yang agak lambat sedikit membosankan.

Penggunaan kesan khas yang efektif dibantu dengan set latar yang meyakinkan banyak membantu menghidupkan lagi pementasan Bidasari bersesuaian dengan zaman yang ingin ditonjolkan.


Pentas yang dihias cantik menghidupkan jalan cerita yang menggambarkan zaman bangsawan.
Teater ini dipentaskan bermula dari 10 hingga 17 Februari 2014 dengan tiket dijual pada harga antara RM30 hingga RM250.

Manakala bayaran RM20 dikenakan untuk pelajar dan 10 peratus diskaun untuk orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

Maklumat lanjut berhubung pembelian tiket boleh layari www.redtix.airasia.com.
Previous Post Next Post