SITI NURHALIZA teruja berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi lain yang turut menyanyikan lagu-lagunya menjelang Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends, pada Sabtu ini.
TANGGAL 1 April begitu sinonim dengan penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Tarikh keramat tersebut bukan sahaja menjadi saksi kelahiran album perdana beliau, Siti Nurhaliza pada 1996, tetapi turut dijadikan sebagai garis mula melangkahkan kaki menjelajah persada seni suara.
Sepanjang 20 tahun mencanai karier, wanita berusia 37 tahun itu boleh dikatakan sangat bertuah kerana dibekalkan sokongan dan dorongan yang tidak pernah putus daripada peminat. Sehinggalah ke hari ini, sokongan peminat terhadap beliau semakin menebal dan ikatan yang terjalin juga semakin kukuh.
“Saya sangat beruntung kerana dikurniakan peminat yang tidak pernah jemu untuk menyokong kerjaya muzik saya. Biarpun sudah menginjak tempoh selama 20 tahun, sokongan yang diterima masih sama.
“Peminat seperti harta dan mereka merupakan anugerah yang sangat berharga bagi saya,” ujar Siti ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends di RedBox The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sentiasa memandang ikatan antara artis dengan peminat sebagai suatu pertalian yang positif, Siti berkata, banyak perkara indah yang dilalui bersama peminat sepanjang beliau bergelar selebriti.
“Perkara yang paling membahagiakan adalah ketika menyaksikan peminat membesar bersama-sama dengan kerjaya nyanyian saya.
“Ada yang telah berjaya dan ada juga yang telah berkeluarga. Mungkin ia nampak kecil tetapi sungguh bermakna buat saya,” katanya.
Konsert
Meluncurkan pertanyaan mengenai hadiah yang bakal diberikan buat penyokongnya sepanjang 20 tahun bersama, penyanyi lagu Jaga Dia Untukku itu berkata, Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends yang bakal diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada Sabtu ini disifatkan sebagai sebuah perkongsian rasa dan penghargaan antaranya dan peminat.
Tutur Siti, dia sangat berharap agar konsert anjuran Yonder Music Live yang turut membariskan penyanyi-penyanyi hebat seperti Anggun, Afgan, Faizal Tahir, Cakra Khan, Hafiz Suip, Joe Flizzow dan SonaOne itu bakal menjadi sebuah kenangan yang terindah dalam karier nyanyiannya.
“Selain dapat menghiburkan peminat sempena ulang tahun ke-20 dalam industri, saya juga sangat teruja untuk berkongsi pentas dengan penyanyi lain.
“Ini merupakan konsert pertama yang menampilkan rakan-rakan artis lain menyanyikan kembali lagu-lagu saya.
“Sejujur-jujurnya, saya mengharapkan konsert ini menjadi sebuah persembahan yang bakal diingati peminat,” katanya.
Melanjutkan bicara, Siti berkata, Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends bakal menyaksikan kelainan daripada segi gubahan semula lagu-lagu yang bakal dinyanyikan.
“Lagu-lagu yang bakal dinyanyikan telah digubah semula oleh pengarah muzik dari Amerika Syarikat, Jackie.
“Lebih istimewa, persembahan saya nanti bakal diiringi band The Gotham All Stars dan 47 pemuzik orkestra,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 6,300 pas masuk konsert telah ditebus oleh peminat dan disebabkan sambutan yang sangat menggalakkan, pihak penganjur telah menambah 500 lagi tiket percuma untuk diberikan kepada peminat.
“Peminat yang ingin memenangi tiket hanya perlu memainkan lagu-lagu saya menerusi aplikasi Yonder dan seramai 250 pemenang akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya menutup perbualan.