STACY tidak tertekan apabila ramai bertanyakan soal anak, bahkan dia positif atas doa yang mahu melihatnya bergelar ibu.
HAMPIR dua bulan melayari bahtera perkahwinan, kehidupan Stacy Anam sebagai isteri kepada Akim Ahmad atau nama sebenarnya, Afiq Akim Ahmad, 25, semestinya semakin membahagiakan.
Bertalu-talu diajukan soalan berkenaan zuriat meskipun usia perkahwinan terlalu baharu, Stacy atau nama terkininya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 26, tenang dan hanya mampu memanjatkan doa supaya perkara tersebut menjadi kenyataan.
Penyanyi yang sedang hangat mempromosikan single baharunya Romeo, meluahkan, tidak pernah berasa tertekan atau terkilan apabila sering ditanya soal anak kerana baginya setiap pertanyaan akan menjadi doa yang baik-baik menjurus ke arah itu.
Bertemu dengannya pada Konsert Hot Kool Jam di Setia City Park, Setia Alam, Sabtu lalu, Stacy berkongsi cerita pasca perkahwinan serta perkembangan karier seninya.
ARTISMELETOP!: Bagaimana kehidupan sebagai sekarang sebagai seorang isteri?
STACY: Sudah dua bulan berkahwin, rasanya seperti baru semalam saya berkahwin (tertawa). Sebenarnya, kehidupan saya tidak banyak perbezaan kerana selepas berkahwin, masing-masing sibuk dengan jadual seni, tetapi kami masih meluangkan masa bersama walaupun masa sangat mencemburui.
Apa perkara baharu yang anda belajar tentang hidup berumah tangga?
Banyak, antaranya tentulah berpeluang memasak untuk suami (Akim). Dia sebenarnya sangat cerewet bab makanan sehinggakan apabila saya memasak lauk kegemarannya seperti asam pedas atau masak lemak cili api, setelah beberapa kali baru dia kata okey dan akan makan.
Adakah anda merasakan perkara tersebut sebagai satu masalah kepada anda?
Tidak sama sekali. Banyak perkara yang perlu saya belajar. Walaupun Akim sangat cerewet, dia juga memahami. Saya perlu belajar perlahan-lahan dan dia sedia membantu. Apabila saya menyediakan sesuatu masakan, rasanya sangat rumit kerana saya perlu membiasakan diri dengan cara masakan orang Selatan (Johor) sedangkan saya sangat terbiasa dengan cara masakan orang Sabah.
Memandangkan anda seorang penyanyi yang lincah ketika beraksi, ada yang memberi pandangan, jika mahu segera dikurniakan zuriat, anda dinasihatkan memperlahankan karier seni. Apa kata anda?
Sebelum ini, ramai yang ada mengatakan bahawa saya mengandung disebabkan pipi saya semakin tembam atau badan semakin berisi. Disebabkan perubahan fizikal juga, saya pergi melakukan pemeriksaan doktor tetapi doktor mengesahkan, kami belum ada rezeki. Biarlah orang nak cakap apa. Saya anggap sahaja ia sebagai doa. Benar, saya perlu kurangkan menari atau melakukan aktiviti yang lasak tetapi inilah dunia sebenar saya. Kalau sudah mengandung nanti, sudah tentu saya akan berehat.
Anda dan Akim sering dilihat mengenakan pakaian sedondon. Boleh ceritakan idea tersebut datang daripada siapa?
Ya, idea tersebut daripada Akim sebenarnya. Selepas kahwin, kalau boleh setiap saat kami mahu berkepit (ketawa). Jadi, banyak pakaian dengan rona serta corak sama dibeli untuk dipakai bersama terutama apabila sedang jalan-jalan, bercuti atau menghadiri majlis.
Baiklah, lagu Romeo ciptaan suami Akim kini sedang popular dalam kalangan peminat. Ramai juga berpendapat lagu tersebut mempunyai bunyi ala Akim & The Majistret. Bagaimana reaksi anda?
Alhamdulillah, saya rasa ia adalah rezeki selepas berkahwin. Lebih manis lagi lagu tersebut merupakan ciptaan suami sendiri. Kalau benar pun ia mempunyai bunyi atau pengaruh Akim & The Majistret, tidak hairanlah kerana penciptanya adalah Akim yang juga merupakan tulang belakang Akim & The Majistret.