KEHADIRAN gadis berusia 24 tahun berdarah kacukan British, Belanda dan Melayu ini dalam industri lakonan di Malaysia bukanlah asing lagi.
Adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam ini telah melibatkan diri menerusi bidang komersial seawal usia 12 tahun lagi.
Mungkin sudah menjadi rezeki dan tuah pemilik nama Siti Saleha Mohd Baharum sentiasa diintai menjadi model syarikat dan diambil untuk berlakon dalam filem, telefilem dan drama.
Walaupun sering menjadi pilihan utama pengarah dan penerbit filem, Saleha memberitahu dia akan mengehadkan lakonan untuk drama pada tahun ini.
“Saya suka berlakon drama tapi mungkin dalam setahun itu dua atau satu kali saja tawaran yang akan saya terima.
“Saya lebih selektif terima tawaran lakonan kerana tidak mahu terlalu penat menjalani penggambaran untuk drama,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Saleha, dia tidak mahu membatasi karier lakonannya, namun mahu memberikan sepenuh tumpuan dan mempunyai masa rehat selepas setiap kali menjalani penggambaran.
“Pada tahun ini saya memang mahukan tumpuan sepenuhnya terhadap lakonan filem dan telefilem.
“Tapi saya akan cuba sedaya saya mengatur jadual supaya tidak terlalu padat dan penat, kerana setiap tawaran yang datang sama ada drama ataupun filem itu adalah rezeki. Namun, saya mahu seimbangkannya,” ujarnya.
Selain filem Supertele dan Cerita Cinta, Saleha bakal muncul dalam beberapa lagi telefilem pada tahun ini.
“Saya baharu habis penggambaran untuk tiga telefilem termasuklah satu darinya berunsurkan komedi.
“Selain banyak terima tawaran telefilem, saya juga mahu mempelbagaikan watak. Berlakon telefilem ini agak mudah kerana tak perlu masa yang panjang dan tak terlalu penat,” katanya.
Pernah terlibat dengan penggambaran di Korea untuk drama Aku Ada Wali, Saleha bakal menjalani penggambaran di Brazil bagi telefilem terbaharunya.
Teruja untuk menjalani penggambaran di sana, menurut Saleha, sudah semestinya dia mempunyai pengalaman yang menyeronokkan walaupun mungkin keletihan semasa terlibat dengan penggambaran.
“Saya tak ada masalah untuk ke sana dan kutip seberapa banyak pengalaman menjalani penggambaran di luar negara.
“Berkemungkinan juga saya bakal mempelajari bahasa negara itu,” katanya.
Sedia beraksi panas
Siapalah kita tanpa keluarga, begitulah juga dengan bintang ini di mana kedua orang tuanya merupakan insan yang paling banyak memberi sokongan kepadanya dalam mengharungi cabaran dan dugaan sepanjang bergelar anak seni.
“Ayah dan adik adalah orang yang paling rapat dengan saya di sini. Ayah sentiasa memahami dan akan memberi pandangannya terhadap lakonan saya. Walaupun ayah seorang terbuka, namun dia juga tak suka bila saya melakukan aksi-aksi berani dalam lakonan. Dia akan diam bila dia tidak suka dengan lakonan saya. Di situ, saya dapat tahu, saya perlu perbaiki lakonan saya,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Saleha, itu bukan bermakna dia menolak untuk berlakon babak panas.
Menurut Saleha, dia sentiasa ingin menjadi seorang yang versatil namun, dalam masa yang sama dia tidak akan melakonkan sesuatu adegan yang keterlaluan sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat.
“Saya tidak kisah jika terima tawaran aksi sebegitu kerana ia tuntutan kerja, namun saya akan mempertimbangkannya terlebih dahulu. Jika keterlaluan, saya akan menolaknya,” katanya.
Bercerita mengenai ibunya, menurut Saleha, ibunya juga merupakan orang yang turut menyokong perjuangan seninya.
“Walaupun ibu saya berjauhan dan menetap di England, namun dia sentiasa mengikuti perkembangan terbaharu saya melalui perbualan telefon. Dia akan beri semangat buat saya.
“Malah, jika ada masa terluang, ibu akan pulang bersama kakak ke sini. Kemudian, setiap hujung tahun iaitu musim sejuk saya dan adik pula akan turun ke England, meluangkan masa bersama ibu,” katanya.
Impian Saleha
Dalam perkembangan lain, Saleha berkata, dia juga ada perancangan untuk sambung belajar di England.
“Saya ada rancangan untuk sambung belajar dan ambil masa mungkin lebih enam bulan untuk tinggal di sana,” katanya.
Menurut Saleha, perkara itu akan dipertimbangkannya selepas ini kerana tidak mahu melepaskan peluang menimba ilmu.
Baginya, walaupun dia mempunyai kerjaya di sini namun, dia bersedia korbankan kerjayanya untuk sementara waktu demi pelajaran.
Selain itu, menurut Saleha, berbekalkan minat yang mendalam terhadap fesyen, pelakon drama Nora Elena ini turut mempunyai hasrat memulakan perniagaan sendiri membuka butik pakaian dan menghasilkan rekaan kasut sendiri.
Saleha berkata, hasrat itu akan cuba direalisasikan secara berperingkat, kerana sekarang dia masih lagi tidak sempat mengatur jadualnya ke arah itu.
"Sejak dari dulu lagi saya minat apa sahaja mengenai fesyen dan rekaan kasut. Selepas ini saya akan ceburi bidang ini jika saya ada masa terluang," katanya.
Punya teman istimewa
Dalam diam, rupanya pemilik wajah pan asian ini kini sudah tujuh bulan menyulam cinta dengan temannya yang bukan dalam kalangan artis.
Menurut Saleha, teman lelakinya itu merupakan seorang yang sempoi, baik hati dan bukan jenis materialistik.
“Saya senang berkawan dengannya dan Alhamdulillah, dia sangat memahami diri dan kerjaya saya,” katanya yang masih mengenali hati budi lelaki itu.
Di tebak mengenai soal kahwin, Saleha berkata dia belum bersedia untuk berkahwin pada tahun ini dan merasakan ia terlalu awal untuk memikirkan perkara itu.
“Sebenarnya saya masih muda, saya rasa masih belum masanya lagi, kerana saya masih mengenali hati budinya,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai hubungan dengan jejaka yang berjaya menambat hatinya, Saleha mengakui kadangkala ada berselisih pendapat dengan teman lelakinya, namun mereka berdua tidak membiarkan perkara itu berlanjutan dan segera menyelesaikannya.