Sebahagian finalis ABPBH 2013 pada majlis sidang media mengumumkan calon Top 5, baru-baru ini.
Hadiah menarik nanti pengundi SMS terbanyak
Saat ini, tentunya pembaca dan peminat sedang bertungkus lumus mengumpul borang dan memangkah calon kegemaran masing-masing dalam peraduan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013.
Borang undian peringkat Top 5 ABPBH edisi ke-27 sudah disiarkan menerusi BH dan BH Ahad mulai 23 Januari lalu. Ia dikeluarkan sehingga 11 Mac depan, manakala tarikh tutup penyertaan pula pada 17 Mac 2014.
Bagi menyemarakkan lagi ABPBH 2013 yang mencapai kemuncaknya pada 6 April depan di Arena of Stars, Genting Highlands, penganjur turut memperkenalkan undian menerusi khidmat pesanan ringkas atau SMS, yang mula diaktifkan sejak semalam.
Kini, selain menghantar undian bagi memilih pemenang 15 kategori yang dipertandingkan dan Bintang Paling Popular, pembaca dan peminat juga boleh berbuat demikian menerusi telefon bimbit masing-masing.
Undian melalui SMS yang akan berakhir pada 25 Mac nanti diadakan bagi memberi peluang yang lebih kepada peminat untuk memastikan artis kesayangan mereka menggondol anugerah mengikut kategori masing-masing.
Peminat yang ingin menggunakan kaedah undian SMS ini perlu merujuk kepada borang undian ABPBH 2013 dalam akhbar BH dan BH Ahad bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai artis, kategori, hadiah dan terma serta syarat undian.
Mereka juga boleh mengundi empat kategori maksimum sekali gus dalam satu SMS dikirimkan.
Hanya taip BH[jarak]ABP[jarak]Kod Artis dan hantar ke 33333. Setiap SMS yang diterima akan dicaj sebanyak RM0.50.
Bagi pengundi yang menghantar SMS terbanyak pula, penganjur menyediakan hadiah menarik untuk mereka iaitu iPhone 5S dan baucar bernilai RM500 untuk pemenang pertama, hadiah kedua pula iPhone 5C dan baucar bernilai RM300, manakala iPod Touch dan baucar bernilai RM200 bakal menjadi milik pemenang ketiga.
Undian menerusi SMS ini diadakan dengan kerjasama IdotTV, selaku pengendali undian SMS ABPBH 2013.