Anak Paul Walker tak suka nenek jadi penjaga

Paul Walker di samping anak gadisnya, Meadow.

Anak perempuan mendiang Paul Walker dilaporkan tidak senang dengan tindakan neneknya yang cuba menjadi penjaga rasminya selepas kematian bintang Fast & Furious itu.





Cheryl Walker memfailkan dokumen mahkamah awal minggu lalu dalam usahanya untuk dilantik sebagai penjaga sah Meadow, berikutan kematian anak lelakinya November lalu. Beliau mendakwa, ibu remaja berusia 15 tahun itu, Rebecca Soteros, seorang kaki botol.

Namun menurut sumber yang memaklumkan kepada E! News, semua pihak terkejut dengan tindakan wanita berkenaan. Malah difahamkan, Meadow dan ibunya “loya” dengan perbuatan ibu pelakon itu.

Sumber dalaman meramalkan, Soteros tidak akan mengalah dalam kes terbabit.

Katanya, wanita itu menyayangi anak perempuannya, malah beliau sentiasa menjadi ibu yang baik buat remaja terbabit. Jadi, tiada alasan untuk undang-undang menukar hak penjagaan.

Meadow mula menetap bersama bapanya secara sepenuh masa di California, kira-kira tiga tahun sebelum kematiannya, selepas berpindah dari Hawaii. Beliau dibesarkan ibunya di negara kepulauan itu, tempat di mana ibunya pernah ditahan kerana kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sebanyak dua kali, iaitu pada 2003 dan 2013.

Sumber itu turut menafikan Soteros mempunyai masalah ketagihan arak.

Meadow dikatakan bakal memiliki harta bernilai RM82.7 juta hasil peninggalan bapanya.

Bintang terbabit melantik bapanya, Paul Walker Sr, sebagai pelaksana wasiatnya dan ibunya pula harus menjadi penjaga sah remaja itu.

Previous Post Next Post