PENGALAMAN hidup yang berbeza antara Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalullai atau Shy8 dan Dayana Roza bukan penghalang untuk melontarkan pandangan berkaitan isu di kalangan pemain industri hari ini.
Bahkan kedua-dua peneraju utama filem Zombi Kilang Biskut arahan Mamat Khalid itu bersepakat membantu dilema yang dihadapi oleh artis demi meningkatkan profesionalisme mereka.
Merasakan tindakan itu wajar dilakukan sementelah banyak laporan kurang enak membabitkan golongan artis dibuat sejak akhir-akhir ini, kata Shy8 yang popular dengan panggilan Usop Wilcha, penyakit itu wajar diubati demi masa depan mereka.
"Kalau ada artis merungut tentang jumlah bayaran yang dikatakan terlalu sikit dan tidak berbaloi daripada mana-mana penganjur, sebenarnya mereka salah.
"Sepatutnya kena fikir tentang kualiti bakat dan komitmen untuk kerja itu. Pastikan cukup hebat dan meyakinkan semua pihak," kata pelakon berusia 48 tahun ini.
Kenyataan Shy8 itu dipersetujui Dayana. Kata wanita berusia 23 tahun ini, dia sering berdepan dengan masalah disiplin artis ketika di set pengambaran.
Antaranya masalah lewat ke set penggambaran kata Dayana, turut menjejaskan kru lain yang turut sama bekerja dalam pasukan produksi itu.
Sebagai pelakon yang mementingkan soal masa kata Dayana, pasti tidak adil apabila terpaksa menunggu artis yang datang lewat semata-mata untuk menjayakan sesuatu babak.
"Saya jenis yang suka memudahkan kerja dan tidak suka menyusahkan orang lain. Jadi saya akan patuhi jadual kerja yang ditetapkan produksi.
"Lagi pun saya kena bertanggungjawab kepada setiap kerja yang membabitkan nama sendiri. Kalau busuk nama pasti sukar untuk mendapatkan peluang kerja yang lain," katanya sambil mengakui dirinya masih belajar ilmu lakonan.
Konsultasi artis
Bagi mengatasi masalah yang membabitkan disiplin artis, Shy8 sudah menemui penyelesaian.
Katanya, dia sedang mengusahakan agensi konsultasi artis di bawah syarikat HD SLR Media yang bakal memberi manfaat kepada golongan artis.
Menurut Shy8, syarikat itu bertindak sebagai pusat sehenti artis yang menjadi perantara antara pihak pelanggan dengan artis.
Selain itu kata Shy8, agensi itu turut merangkumi soal pembangunan modal insan, bakat, perundingan bayaran dan menyediakan perkhidmatan pembantu artis.
Selaku salah seorang pengarah syarikat berkenaan Shy8 yakin mampu melakukan perubahan besar dengan sokongan semua pihak.
Sementelah penubuhan agensi yang bertujuan untuk mengkorporatkan artis bakal menyaksikan perubahan dan penambahan nilai sikap artis, kata Shy8 berhubung matlamat utama agensi tersebut.
Menekankan soal sikap dan disiplin kata Shy8, kebanyakan artis yang pernah tergelincir sikap akan dibentuk semula dengan menerapkan jati diri seorang pelakon yang sebenar.
"Penjenamaan semula artis adalah perkara yang dititikberatkan untuk menaikkan reputasi artis dalam kalangan masyarakat.
"Ramai artis yang beranggapan mereka sudah hebat apabila peminat ramai dan tidak boleh menerima teguran kerana berasakan dirinya mereka yang betul.
"Disebabkan tiada teguran itu, mereka jadi besar kepala dan kemudian cerita buruk artis tertentu dijaja di akhbar.
"Sebab itu kami menubuhkan agensi konsultansi seperti pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan. Paling penting artis akan diajar tentang cara mengkorporatkan diri mereka sendiri," terangnya.
Enggan mendedahkan nama artis yang bakal mengikuti program berkenaan kata Shy8, dia akan mengumumkan senarai nama artis yang terlibat awal April nanti.
Mengajukan soalan sama ada Dayana akan turut sama menyertai konsultasi yang dianjurkan Shy8, Dayana terus mengangguk.
Katanya, dia akan menyokong segala usaha yang bertujuan untuk membantu menaikkan reputasi artis di mata masyarakat.
Selain memperoleh ilmu yang baharu kata Dayana, itu juga cara untuk mewujudkan persekitaran untuk bersaing secara sihat di kalangan mereka.
"Bagi artis baru, kita berdepan cara untuk memasarkan bakat. Tak tahu nak jumpa dengan siapa dan menggunakan saluran yang bagaimana.
"Jadi apabila ada syarikat konsultasi sebegini diharapkan dapat mencari lebih banyak platform buat artis yang baharu bertapak," katanya penuh makna.
Kolaborasi Zombi Kilang Biskut
Bekerjasama dengan Shy8 bagi menjayakan filem Zombi Kilang Biskut selama sebulan merupakan kesempatan bagi Dayana untuk mengenali karekter sebenar lelaki itu.
Kata Dayana, walaupun Usop di dalam Zombi Kilang Biskut seperti seorang yang lembik tetapi realitinya lelaki itu cukup berkarisma.
"Abang Usop bukan jenis kedekut ilmu. Dia banyak tolong saya untuk mengukuhkan watak saya selain abang Awie. Saya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan mereka.
"Ketika di dalam set penggambaran, mereka sangat serius. Tapi selesai saja penggambaran mereka bertukar," katanya sambil mengakui tidak pernah bosan sepanjang penggambaran filem itu yang diadakan di Perak.
Zombi Kilang Biskut mengisahkan sekumpulan lelaki yang bekerja di sebuah kilang biskut di Kampung Pisang. Mereka digemparkan apabila ramai pekerja pengsan di tempat kerja.
Pada masa yang sama mereka didatangi seorang wanita yang mencari Usop untuk membalas dendam. Di situlah bermula konflik yang mencetuskan huru hara dan mengakibatkan zombie menyerang.
Zombi Kilang Biskut bakal ditayangkan di pawagam pada 20 Mac ini dengan menampilkan Awie, Soffi Jikan, Man Kadir, Delimawati, Eina Azman, Illya dan Zainuri Misfar.