LIMA bulan melayari hidup sebagai isteri merupakan fasa cukup membahagiakan buat Fouziah Gous. Pada tempoh ini pastinya segala tumpuan diberikan suami, Zhafran Yusof yang begitu setia menemaninya ke mana sahaja.
Bukan tidak gembira dengan pertanyaan orang tentang isu anak tetapi akui pelakon ini dia tidak meletakkan isu tersebut sebagai keutamaan memandangkan mereka masih baru berkahwin.
Semua itu soal rezeki dan dia tidak pernah memikirkan secara serius soal anak. Jika diberikan rezeki awal pasti akan disambut dengan kesyukuran dan jika sebaliknya pun dia tetap akan reda.
Akuinya lagi, dia menganggap fasa ini merupakan fasa percintaan memandangkan mereka hanya menjalinkan hubungan cinta selama tiga bulan sebelum mengikat cinta dengan perkahwinan.
"Mungkin sebab tak bercinta lama sebelum berkahwin yang menyebabkan saya rasa ingin dekat dengan suami. Kalau nak ikutkan sejak berkahwin memang saya kurang aktif lagi berlakon dan terlibat dalam sesi fotografi.
"Saya tak mahu dia rasa sunyi bila saya balik lewat malam. Kalau boleh biarlah saya habiskan masa di rumah lebih berbanding berada di luar.
"Dulu tanggungjawab saya kurang sebab hanya beri tumpuan pada keluarga saya. Sekarang saya dah ada keluarga mertua dan pastinya saya kena membahagikan masa untuk mereka juga," jelas Fouziah lagi.
Bagi pelakon ini pastinya perhatian diberikan kepada rumah tangga dan bukan lagi kepada lokasi penggambaran seperti sebelum mendirikan rumah tangga dahulu.
"Fasa untuk saya bekerja tanpa henti sudah berakhir. Kalau dulu mungkin saya boleh menunggu sehingga pukul 3 pagi di lokasi penggambaran. Kalau kena ke luar daerah pun tak ada masalah.
"Tapi sekarang saya akan menolak tawaran seperti itu. Tak sanggup lagi nak menunggu sampai ke pagi dan sambung lagi esok di tempat lain. Dulu mungkin saya kejar duit. Boleh kerja siang malam, tak cukup tidur dan ambil banyak tawaran. Semuanya saya buat sebab masa depan.
"Saya kumpul duit banyak untuk persediaan kahwin. Bila majlis berlangsung saya tak berhutang dengan bank, semuanya saya biayai sendiri," ulas Fouziah.
Menolak andaian tawaran untuknya semakin kurang selepas berkahwin, jelasnya tawaran masih ada tetapi dia hanya memberikan tumpuan kepada telefilem buat masa ini.
Fokus
Enggan terus mengharapkan rezeki dalam bidang lakonan, Fouziah sebenarnya sedang mengusahakan makanan kesihatan berasaskan sarang burung walet yang tinggi dengan khasiat.
Menggunakan jenama FG Walet/My Walet Bird Nest, sudah dua tahun dia terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan makanan yang sering diceburi oleh masyarakat Cina sebelum ini.
"Tak ramai orang Melayu yang ambil kisah tentang makanan tambahan macam ini. Tapi orang Cina memang anggap sarang burung walet sebagai makanan yang perlu untuk mereka kekal sihat.
"Kita tak didik untuk mengenali dengan lebih terperinci khasiat sarang burung ini. Sebab itu kebanyakan masyarakat Melayu menganggap sarang burung bukan makanan tambahan untuk mereka," jelas pelakon Trilogi Cinta ini lagi.
Enggan dilihat main-main, Fouziah bakal memasarkan produknya ini ke China memandangkan negara tersebut membuka peluang luas buat usahawan sarang burung sepertinya.
Tidak hanya bersifat sementara, dia juga sudah menguasai selok belok perniagaan bermula cara untuk membina sarang burung, menuai hasil sehingga proses pembuatan sebelum dipasarkan.
Antara khasiat lain sarang burung walet termasuklah untuk menguatkan paru-paru dan sesuai diamalkan oleh wanita yang sedang mengandung.
Terbaru Fouziah bakal muncul dengan filem Hantu Bukit Cina arahan TS Jeffrey dan Norliza Ismail dan akan memasuki 80 pawagam tanah air bermula 6 Mac ini.
Filem ini mengisahkan gangguan makhluk halus di perkarangan perkuburan masyarakat Cina berlaku di Kampung Bukit Cina. Sesiapa saja yang mengunjungi perkuburan itu pada waktu malam akan ditimpa musibah apabila dirasuk oleh makhluk halus.