Awie akui isteri cemburu


ZIANA Zain, sebagai Mariana, Erra Fazira dengan watak Maria dan Awie berlakon sebagai Sazali, dalam filem Maria Mariana 2 yang turut dipentaskan.

EKORAN penglibatan dua bintang ternama, Awie dan Erra Fazira dengan pementasan konsert Teaterikal Suara Kita di Istana Budaya bermula 3 hingga 9 Mac ini, muncul khabar angin yang mengatakan bahawa isteri kepada vokalis Wings itu amat cemburu melihat keintiman yang terjalin antara mereka.

Apatah lagi apabila sejarah percintaan antara Awie dan Erra kembali hangat diperkatakan sejurus sidang akhbar mengenai penganjuran konsert berkenaan diadakan pada awal tahun ini oleh Awie Entertainment Sdn. Bhd.

Walaupun ketika itu Awie menjelaskan telah mendapat ‘lampu hijau’ daripada isterinya, Rozana Misbun, namun masih ramai yang mempertikaikan sejauh mana keikhlasan seorang wanita untuk membenarkan suami sendiri berdampingan dengan bekas kekasihnya, sekalipun sekadar lakonan.




Pun begitu, berdasarkan pratonton konsert tersebut yang berlangsung Isnin lalu, ternyata sama ada Awie mahupun Erra, kedua-duanya begitu menghayati watak mereka sebagai pasangan kekasih dan ia sekali gus memberi bayangan terhadap perasaan Rozana ketika menonton babak-babak romantis yang yang dipentaskan pada malam itu.

Bagaimanapun, berkesempatan bertemu dengan Awie dan Erra ketika sidang akhbar yang diadakan sejurus tamat persembahan, sekali lagi kedua-dua bintang itu menegaskan bahawa keintiman yang ditunjukkan adalah semata-mata atas nama tugas sebagai pelakon demi menjayakan watak masing-masing.

Awie berkata, sememangnya terbit rasa cemburu di hati Rozana tatkala kali pertama idea pementasan itu dicetuskan, tetapi pujukan demi pujukan, akhirnya wanita yang dikahwininya tujuh tahun lalu itu memberi kebenaran.

“Bukan itu sahaja, malah Rozana turut teruja menunggu pementasan ini kerana dia merupakan salah seorang daripada ribuan peminat primadona bernama Erra Fazira seperti mana yang dia akui kepada media sebelum ini. Secara tidak langsung, dia juga meminati filem-filem lakonan Erra yang menjadi paksi pembikinan konsert pada malam ini.

“Kami bekerja secara profesional dan saya tahu, Rozana amat memahami kerja kami sebagai pelakon. Walaupun orang kata kita tidak dapat membaca hati wanita, tetapi saya mengharapkan segalanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah," ulas Awie.

Akui terlebih masa

Mengulas mengenai persembahan malam pertama projek sulungnya itu, Awie bersyukur kerana segalanya mengikut perancangan awal, namun mengakui, pementasan tersebut melebihi masa yang ditetapkan iaitu selama dua jam setengah.

Katanya, konsert itu terlajak antara 10 hingga 15 minit dan ia akan diperhalusi semula agar tidak berulang kembali untuk pementasan hari berikutnya.

“Saya minta maaf atas masalah tersebut dan akan cuba atasinya untuk baki persembahan yang mendatang dengan berbincang bersama barisan tenaga produksi yang ada.

“Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan perjalanan pementasan yang saya sifatkan cemerlang terutama kepada Ziana yang sebelum ini begitu risau kerana ia adalah penampilan sulungnya di pentas teater.

“Malam ini dia membuktikan dirinya sebagai seorang pelakon berkaliber walaupun pertama kali terlibat dalam bidang teater. Bab nyanyian saya sememangnya tidak perlu risau kerana dia adalah Ziana Zain," ujar Awie selaku penerbit projek mega itu.

Pada masa yang sama, Awie turut bangga melihat persembahan Erra sebagai penyanyi kerana vokalnya begitu menyerlah pada malam itu berbanding ketika pelakon jelita itu aktif di bidang nyanyian pada 1990-an dahulu.

“Saya akui, vokal Erra sangat bagus jika dibandingkan dengan era kegemilangannya sebagai pelakon dan penyanyi suatu ketika dahulu. Mungkin peredaran masa telah mematangkan vokalnya. Bab lakonan, saya tidak mahu komen sebab dia sememangnya ratu dalam bidang tersebut," katanya.
Previous Post Next Post