Chris Evans dari 'zero' ke hero



WATAK superhero atau adiwira tidak asing lagi buat aktor kacak, Christopher Robert Evans, atau yang lebih selesa menggunakan nama komersial, Chris Evans.

Dia dikenali menerusi karakternya yang ‘gila-gila’ dan kaki perempuan sebagai adiwira Human Torch/Johnny Storm melalui filem Fantastic Four (2005) dan sekuelnya, Fantastic Four: Rise of The Silver Surfer (2007).

Begitu pun, filem itu belum cukup untuk mengangkat dirinya ke kemuncak kerjayanya sebagai aktor mega di Hollywood sekali gus meletakkannya dalam barisan pelakon gred A.

Justeru, apabila namanya diumumkan sebagai aktor terpilih untuk karakter adiwira Captain America/Steve Rogers menerusi filem Captain America : The First Avenger pada 2011, ia bagaikan satu peluang keemasan buatnya.

Ini kerana, filem adaptasi komik popular terbitan Marvel itu akan melibatkan sembilan siri filem membabitkan watak Captain America.

“Saya menandatangani kontrak berlakon francais filem ini tetapi saya sebenarnya tidak pasti 100 peratus apakah ia akan menjadikan saya bintang mega.

“Disebabkan tidak 100 peratus berkeyakinan, ini bermakna keputusan yang saya buat itu sangat menakutkan,” katanya.




Memegang salah satu watak ciptaan daripada komik popular Marvel, Captain America membuka peluang kepada Evans untuk bergandingan dengan pelakon adiwira yang lain seperti Iron Man oleh Robert Downey Jr. dan Thor (Chris Hemsworth) dalam filem The Avengers (2012).

“Filem dibikin untuk tontonan penonton, terutama sekali peminat fanatik adiwira-adiwira ciptaan Marvel - golongan inilah yang paling saya bimbangkan penerimaan mereka,” katanya.

Menyingkap perihal kerjayanya, anak kelahiran Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS), ini memulakan karier lakonannya menerusi watak-watak kecil dalam siri televisyen (TV) seperti Boston Public, The Fugitive dan Opposite Sex.

Karier lakonan Evans kemudiannya berkembang kepada filem setelah dia membintangi filem The Newcomers (2000).
Previous Post Next Post