Hairi Safwan Sah Jadi Suami Dengan Sekali Lafaz


Hairi sah bergelar suami dengan sekali lafaz.

KEPALA BATAS: Juara Anak Wayang musim pertama iaitu Mohd Hairi Safwan Aznan sah bergelar suami kepada bakal guru, Fara Afiza Azman dengan sekali lafaz.

Majlis akad nikah disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Orang Islam kawasan Kepala Batas Pulau Pinang, Jamal Darus.

Ia berlangsung di Masjid Abdullah Fahim di sini kira-kira pukul 10.30 pagi.

Pada majlis itu Hairi menyerahkan mas kahwin berupa seutas gelang tangan bernilai RM3,000 manakala wang hantaran sebanyak RM15,000.




Pihak lelaki turut memberikan sembilan dulang hantaran antaranya kasut, minyak wangi, beg tangan, kamera, sirih junjung, kek dan coklat.

Ia dibalas sebelas dulang oleh pengantin perempuan antaranya kasut, jam tangan, sejadah, buah-buahan, jaket, beg, sirih junjung, minyak wangi dan coklat.

Kedua-dua mempelai kelihatan anggun mengenakan busana berwarna putih gading.


Hairi dan Fara sah bergelar suami isteri.


Hairi yang ditemui selepas majlis akad nikah melahirkan rasa syukur dengan perkahwinan itu dan berharap rumah tangga mereka akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Tambah Hairi, perkahwinan itu juga menandakan permulaan tanggungjawabnya untuk menjadi suami yang sempurna kepada isteri.

"Saya merasakan hidup ini lebih matang dan berazam untuk menjadi suami yang baik untuk isteri saya," katanya kepada mStar Online.

Tambah Hairi, dia juga bertuah kerana memperoleh seorang isteri yang memahami kerjayanya sebagai pelakon selain tidak menghalang dia untuk bergiat aktif dalam dunia seni.

Sementara itu Fara, 24, yang kini menjalani latihan amali perguruan di Sekolah Kebangsaan Bandar Utama 2, Petaling Jaya, Selangor dijangka bergelar guru sepenuh masa pada November depan.

Dia merupakan anak bongsu daripada empat beradik yang juga anak kepada Editor Majalah Kuntum, Asma Saad.

Majlis resepsi pasangan pengantin akan diadakan pada 7 Jun depan di Dewan Bandaraya Alor Setar, Kedah yang merupakan negeri kelahiran Hairi.

ARTISMELETOP: Sekalung Tahniah ARTISMELETOP ucapkan kepada dua mempelai Hairi & Fara Semoga kekal ke anak cucu.
Previous Post Next Post