Fouziah Gous Suami, karier dan usahawan sarang burung


SEIRING dengan kematangan usia dan kehidupannya yang sudah bergelar isteri, Fouziah mengakui dia harus ada banyak pertimbangan sebelum memilih untuk menerima sebarang tawaran lakonan.

SESUDAH bergelar isteri, jarang benar wajah Fouziah Gous muncul pada majlis-majlis hiburan. Turun ke lokasi fotografi juga bukan lagi menjadi agenda yang tersemat dalam diari kariernya. Fokus Fouziah kini teralih terhadap cinta. Itu yang terluah sebaik sahaja wanita yang berumur 32 tahun itu memulakan bicara usai wajahnya dirakamkan lensa jurukamera.

"Boleh dikatakan, ini merupakan fotografi pertama yang saya lakukan selepas kira-kira bulan bergelar isteri. Entahlah, perasaan hendak masuk studio dan bergambar belum panas agaknya. Mungkin juga sebab selama lima bulan ini saya sibuk dengan jadual penggambaran. Dalam masa yang sama rutin hidup saya semakin bercabang-cabang," usulnya lembut seraya tersenyum.




Garis senyumannya menyimpan rasa bahagia. Lelaki bernama Zhafran Yusof yang dinikahinya September tahun lalu itu bukan sekadar seorang suami. Lelaki itulah jua kawan, teman dan paling romantis untuk didengar, Fouziah mengumpamakan perhubungan mereka kini tidak ubah seperti merpati dua sejoli.

"Mungkin disebabkan perkenalan dan tempoh pertunangan kami yang agak singkat. Sepanjang tempoh itu juga kami jarang keluar berdua-duaan, jadi apabila sudah bergelar suami isteri, kami macam dapat lesen untuk bercinta. Rasa macam di alam percintaan," ujar Fouziah yang mengakui fokusnya juga sudah berubah.


FOUZIAH bergelar isteri kepada Zhafran Yusof (kiri) pada September 2013.

Beralih fasa daripada wanita solo menjadi isteri orang juga memberi pengertian baharu buat Fouziah. Soal karier tetap diutamakan namun kewajipan tidak boleh diambil mudah.

"Kalau dahulu, setiap hari ada penggambaran. Dahulu juga, saya kejar banyak benda, nak beli kereta, rumah dan kumpul duit banyak-banyak. Sekarang, kami masih sama-sama kena kerja juga dan rezeki yang dapat akan dikongsi bersama-sama. Untungnya sebab kami sebaya, cuma nak terkejar-kejar macam dahulu, balik rumah sampai pukul 3 pagi, tidaklah.

"Sekarang, kalau dapat cuti dua atau tiga hari selepas berhari-hari di lokasi, saya akan duduk rumah. Cuba-cubalah memasak dan ambil hati suami pula," katanya yang belum didatangi tanda-tanda bakal beroleh cahaya mata dalam masa terdekat.
Previous Post Next Post