
ROMIE RAZIN ADILHA (dari kiri), Rubiah Jaffar, peguam kepada Hanez Suraya, Wan Norliyana Abd. Rahman dan Hanez Suraya bergambar usai sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini
"SEBELUM mengenali Hanez, saya sudah cuba memujuk dan beri tempoh selama tiga bulan agar isteri (Nur Liyana Abd. Manan) pulang ke pangkuan saya, tetapi dia terus berdegil untuk meneruskan perceraian," itu pengakuan Mr. R atau nama sebenarnya Romie Razin Adilha, 34.
Romie buat pertama kali muncul di hadapan media bagi menjernihkan keadaan apabila kekasihnya, pelakon Hanez Suraya didakwa sebagai perampas suami orang dan menjadi punca keretakan rumah tangga sebagai mana yang didakwa oleh Liyana.
"Saya bukan mahu mengaibkan sesiapa, biarlah dia sahaja yang mengaibkan saya. Saya cuma mahu jelas bahawa Hanez Suraya bukan punca keretakan rumah tangga kami. Saya mahu tegaskan, apa yang didedahkan oleh isteri saya sebelum ini adalah fitnah," tegas Romie yang turut ditemani peguamnya, Rubiah Jaffar.
Tambah Romie: "Memang saya belum bercerai tapi rumah tangga kami telah ada masalah sejak lapan bulan lalu. Isteri saya kata Hanez punca keretakan hubungan kami, tapi saya mula mengenali Hanez pada 20 Disember 2013 dalam satu majlis di Shah Alam. Isteri saya memfailkan cerai pada 8 Oktober tahun lalu dan itu merupakan permohonan cerai kali kedua selepas tahun 2011."
Tiada episod bertegang urat atau suasana tegang antara wartawan bersama Hanez, Romie dan dua peguam yang mewakili mereka. Sidang media yang pada mulanya disangka panas itu rancak dihiasi soalan dan jawapan yang bernas.
Romie turut menyangkal tuduhan isterinya bahawa pergolakan perkahwinan mereka berpunca daripada orang ketiga. Sebaliknya jelas Romie, Liyana sudah nekad untuk bercerai apabila bertindak keluar dari rumah sejak 15 Ogos lalu.

ROMIE mendakwa gambar-gambar yang disebarkan oleh isterinya merupakan foto yang pernah ditolak oleh pihak mahkamah.
"Saya pelik kenapa tuduhan bahawa saya kaki perempuan atau ada pihak ketiga itu hanya disiarkan dalam surat khabar tidak dalam fail tuntutan perceraian. Kenapa?" soal Romie kembali.
Perkara yang sama turut ditegaskan oleh Rubiah. Menurut peguam yang mewakili Romie itu, dalam tuntutan penceraian yang difailkan oleh Liyana pada tahun 2011 dan 2013, isu orang ketiga tidak pernah wujud. Begitu juga soal nafkah anak yang didakwa Liyana gagal ditunaikan oleh Romie.
Ditanya lagi tentang keterujaan Romie hendak memperisterikan Hanez sedangkan kes perceraiannya belum selesai, Romie menjelaskan:
"Saya tiada pilihan, jadi saya terpaksa kena cari kebahagiaan yang lain. Sedangkan orang yang sedang bahagia dalam keluarga boleh berkahwin lain.
"Secara lisan, saya sudah pun melamar Hanez untuk dijadikan isteri. Sebab itulah saya tidak menyalahkan Hanez apabila cerita nak kahwin itu tersebar."
Romie yang merupakan ahli perniagaan berjaya dari Shah Alam menambah, dia mula mengenali Hanez menerusi drama I Love You Mr. Arrogant
"Ketika itu saya berada di rumah ibu saya. Kebetulan dalam satu acara di Shah Alam, saya bertemu Hanez di situ. Saya jenis orang yang kalau mahukan sesuatu, saya akan berusaha dapatkan apa yang saya mahu," cerita Romie yang tidak mahu mengulas apabila ditanya perasaan cintanya terhadap isterinya Liyana ketika ini.
Tentang janjinya hendak mengahwini Hanez sesudah perbicaraan perceraiannya diputuskan oleh mahkamah, bapa kepada dua orang anak tidak mahu mendahului takdir.
"Kalau cakap lebih nanti akan dikatakan riak, kalau ada jodoh kami akan kahwin. Tunggulah kes perceraian saya selesai dulu. Saya seorang lelaki yang berani berdepan kenyataan dalam kehidupan atau perniagaan. Sudah dua kali saya diperlakukan begini (dituntut cerai) oleh isteri. Insya-Allah, saya memang serius dengan Hanez," kata Romie yang tidak berhubung atau berkomunikasi dengan Liyana sejak isterinya itu bertindak mencari jalan penyelesaian menemui media.