Selebriti popular Sarimah Ibrahim, 36 akhirnya mengaku bahawa dia sedang menjalani hubungan cinta dengan cucu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar.
Pengakuan itu dibuat sendiri penyampai radio MIX FM berkenaan kepada portal ARTISMELETOP ketika mengumumkan jejaka yang terpilih untuk menemaninya bagi acara makan malam sempena kempen Desperately Seeking Sarimah (#DSS) yang diperkenalkan stesen radio Mix FM.
Penyampai radio Mix FM, Sarimah Ibrahim yang juga pelakon serta penyanyi memberitahu dia pada mulanya tidak mengenali siapakah Jamie atau cucu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10 iaitu Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar itu.
Sehinggalah dia mengambil keputusan untuk meneliti latar belakang Jamie di laman Google selepas mendapati layanan yang diberikan oleh orang sekeliling terhadap jejaka berkenaan agak berlainan selain panggilan Tunku yang sering diajukan kepada jejaka berkenaan ketika meereka menghadiri sebuah majlis makan malam.
“Ketika pertama kali bertemunya, banyak persoalan yang timbul difikiran saya berkenaan dia. Saya tak tahu dia ini orang mana kerana raut wajahnya yang agak berbeza. Nak kata Melayu tak Melayu, nak kata Arab pun tak juga.
“Biarpun pertama kali bertemu, banyak perkara yang kami borakkan. Dari hal perpisahan rumah tangga, latar belakang keluarga, tentang United Kingdom dan banyak lagi. Memang banyak persamaan. Kami tak henti berborak walaupun ramai orang sudah beransur pulang dari majlis berkenaan,” katanya terbuka.
Sarimah Ibrahim menambah, antara alasan utama dia terlalu terbuka memperkenalkan Jamie kepada pihak umum kerana tidak mahu orang ramai menyalah anggap dengan hubungannya sehingga timbul pelbagai cerita tidak sedap didengari.
Ia bertepatan sekali dengan status dirinya sebagai bekas isteri orang dan kerjayanya sebagai artis selain latar belakang Tunku Nadzimuddin dalam kelompok keluarga diRaja.
Kata Sarimah Ibrahim, dia dan Jamie sudah berbincang terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk berterus terang akan hubungan mereka berdua meskipun pada awalnya agak sukar untuk mereka berbuat demikian.
“Semuanya kerana kempen Desperately Seeking Sarimah (#DSS) yang diperkenalkan stesen radio Mix FM baru-baru ini. Memang tidak diduga dan ia bukan dirancang sama sekali.
“Saya telah memberitahu 3 lelaki daripada finalis kempen berkenaan bahawa saya sudah pun berpunya tetapi hos rancangan itu, Rod meminta saya untuk dipertemukan dengan Jamie di dalam konti radio Mix FM supaya saya dapat mengesahkan kebenarannya.
“Saya menyahut cabaran Rod, maka saya telah meminta Jamie untuk hadir dalam konti radio Mix FM pagi ini untuk membuktikan bahawa hubungan saya dengannya bukanlah jenaka.
“Saya merasakan adalah perlu untuk saya berterus terang dan memperkenalkan Jamie kepada pihak umum termasuk tiga orang finalis kempen berkenaan kerana rasanya tak manis kalau saya keluar makan malam dengan salah seorang pemenang kempen berkenaan dan dalam masa yang sama saya keluar dengan Jamie,” katanya.
Sementara itu jelas Jamie, pada awalnya dia agak resah dan gelisah apabila diminta untuk tampil dan bercakap di konti radio Mix FM. Bagaimanapun demi kebaikan masa depan hubungan mereka berdua, dia melakukannya dengan hati terbuka.
Meskipun berlatar belakangkan keluarga diraja, Jamie bagaimanapun seboleh-bolehnya tidak mahu dia dan kekasih hatinya itu terikat dengan sebarang protokal sebaliknya memilih untuk bersikap bersederhana, terbuka dan menerima Sarimah Ibrahim seadanya.
“Saya tidak kisah mengikut Sarimah ke mana sahaja ataupun sekiranya memerlukan saya untuk bergambar dengannya dalam mana-mana majlis sekalipun kerana saya faham dengan kerjayanya sebagai seorang selebriti,” katanya merendah diri.